Pakatan Harapan Selangor adakan mesyuarat pertama hari ini
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) Selangor di bawah pimpinan Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat pertama pagi ini.
Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Azmin dihadiri pemimpin-pemimpin PH Selangor hari ini membincangkan tentang struktur kepimpinan negeri.
“Mesyuarat berjalan dengan baik, lancar dan berjaya,” kata Izham kepada The Malaysian Insight.
“Kita berjaya membentuk jawatankuasa PH Selangor dan membincangkan persiapan untuk berdepan dengan PRU14.”
Sebelum ini mesyuarat Majlis Presiden PH menyelesaikan kepimpinan di peringkat negeri dan Azmin dilantik sebagai pengerusi Selangor.
Izham berkata, setiap pengerusi parti komponen PH di Selangor akan menjadi timbalan pengerusi negeri.
Di Selangor DAP dipimpin oleh Tony Pua, Amanah oleh Izham dan Bersatu oleh Abdul Rashid Asari.
“Cuma di Selangor ini kita ada buat kelainan sikit.
“Bagi memastikan kaum India mempunyai wakil maka Sivarasa Rasiah dari PKR turut dilantik sebagai timbalan pengerusi PH Selangor,” katanya.
Izham berkata Zuraida Kamaruddin dari PKR dilantik sebagai setiausaha PH Selangor.
“Kita juga sudah selesai melantik jawatan-jawatan lain yang akan diumumkan pengerusi PH Selangor tidak lama lagi,” katanya.
Sebelum ini berlaku ketegangan dalam kalangan pemimpin PH Selangor kerana jawatankuasa negeri masih belum ditubuhkan.
Bagaimanapun pemimpin PKR mempertahankan Azmin mengatakan mereka mengutamakan satu lawan satu dan bukannya sekretariat negeri.
Bagaimanapun selepas Majlis Presiden PH mengumumkan untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru pada PRU14, hala tuju gabungan itu di peringkat negeri semakin jelas. – 8 September, 2017.