Iklan

Pakatan Harapan Selangor bentuk jawatankuasa, yakin menang PRU14

Amin Iskandar7 years ago8th Sep 2017Berita
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) Selangor mengadakan mesyuarat pertama pagi ini dengan tumpuan menyusun struktur kepimpinan gabungan pembangkang di negeri itu serta memulakan letak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pengerusi PH Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan media melahirkan keyakinan kepimpinan PH negeri akan terus maju dengan tekad mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Saya amat gembira dengan muafakat yang dizahirkan sepanjang perbincangan pagi ini. Saya yakin perpaduan yang utuh dalam Pakatan Harapan Negeri Selangor akan menjana kekuatan baru menjelang PRU14,” kata menteri besar Selangor itu.

Kenyataan Azmin yang dikeluarkan lebih kurang pukul 1 tengah hari itu mengesahkan laporan The Malaysian Insight hari ini mengenai mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat dihadiri oleh ketua-ketua parti komponen PH negeri terdiri daripada Tony Pua (DAP), Izham Hashim (Amanah) dan Abdul Rashid Asari (Bersatu) bersama pimpinan kanan parti masing-masing.

Selain menentukan barisan pimpinan negeri, mesyuarat membincangkan secara dasar manifesto PRU14 serta gerak kerja pilihan raya termasuk program-program penerangan mengenai kejayaan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Pembangkang menguasai kerajaan negeri Selangor sejak pilihan raya umum 2008.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim berkata beliau berpuas hati dengan mesyuarat pertama itu membincangkan persiapan untuk berdepan dengan PRU14.

“Mesyuarat berjalan dengan baik, lancar dan berjaya,” kata Izham kepada The Malaysian Insight.

Majlis Presiden PH baru-baru ini menyelesaikan isu kepimpinan di semua negeri dengan setiap parti diberi mandat menerajui beberapa negeri. Selangor adalah antara negeri yang diketuai PKR, selain Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah. 

Izham turut menjelaskan kepada The Malaysian Insight, selain semua ketua parti negeri dilantik sebagai timbalan pengerusi, PH Selangor memperuntukkan kerusi khas mewakili kepentingan kaum India juga bertaraf timbalan pengerusi.

“Bagi memastikan kaum India mempunyai wakil maka Sivarasa Rasiah dari PKR turut dilantik sebagai timbalan pengerusi PH Selangor,” kata Izham.

Sementara itu, kenyataan Azmin mengumumkan pelantikan dua pemimpin wanita negeri, Zuraida Kamaruddin dari PKR dan Hannah Yeoh dari DAP, masing-masing sebagai setiausaha dan bendahari PH Selangor.

Timbalan pengerusi Bersatu Selangor, Dr Sukiman Sarmani dilantik ketua penerangan, Dr Xavier Jayakumar (PKR), pengarah pilihan raya; Saari Sungib (PKR), pengerusi jawatankuasa manifesto dan Gobind Singh Deo (DAP) pengerusi biro undang-undang.

Sebelum ini timbul kekecohan dalam kalangan pemimpin PH Selangor kerana jawatankuasa negeri masih belum ditubuhkan ketika ada kebimbangan pilihan raya mungkin diadakan tahun ini. 

Bagaimanapun pemimpin PKR mempertahankan Azmin mengatakan mereka mengutamakan satu lawan satu dan bukannya sekretariat negeri, kenyataan yang membayangkan tumpuan pada masa itu adalah berunding dengan PAS. 

Bagaimanapun selepas Majlis Presiden PH mengumumkan menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru pada PRU14, hala tuju gabungan PH di Selangor ternampak semakin jelas. – 8 September, 2017.

Iklan
Iklan