Bersatu Sabah dilancar 6 April
Iklan
BERSATU cawangan Sabah akan secara rasmi dilancarkan oleh dua pemimpin tertingginya pada 6 April depan.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Muhyiddin Yassin akan melakukan pelancaran bersejarah itu di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Bekas wakil rakyat Umno juga dijangka diterima sebagai ahli Bersatu pada hari itu.
Terdapat lapan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan lima ahli Parlimen daripada Umno yang buat masa sekarang jadi wakil rakyat Bebas.
Jumlah ini adalah yang terbaru selepas Adun Tampasuk Musbah Jamli meninggalkan kumpulan wakil rakyat bekas Umno diketuai Adun Sulaman Hajiji Mohd Noor pada 15 Januari lalu untuk menyertai Warisan.
Sumber rapat dengan Hajiji, Adun Karanaan Masidi Manjun yang juga bekas setiausaha Umno Sabah berjumpa Muhyiddin pada Jumaat di Kuala Lumpur untuk memuktamadkan aturan majlis pelancaran itu.
“Dengan Bersatu akhirnya masuk Sabah, kerajaan negeri diketuai Warisan tidak lagi boleh menafikan yang parti itu akan menjadi kedua terbesar negeri selepas Parti Warisan Sabah,” kata sumber.
Hajiji dan Masidi, dan tujuh lagi Adun serta lima ahli Parlimen daripada Umno Sabah keluar parti pada 12 Disember tahun lepas.
Pada 15 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan Bersatu akan meluaskan sayap ke Sabah, melanggar janji mulut untuk tidak mewujudkan cawangan di negeri Malaysia Timur yang dibuat kepada Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.
Sumber juga mengesahkan yang Hajiji dijangka dinamakan sebagai pengerusi Jawatankusa Penaja Bersatu Sabah. – 10 Mac, 2019.