Sejak 40 tahun lalu, industri padi Sabah jatuh merudum
Iklan
PENANAM padi di Kota Belud, Sabah, hari ini terpaksa menanggung akibat keputusan kerajaan memansuhkan Lembaga Padi Sabah hampir empat dekad yang lalu.
Tidak kira betapa kuat Saim Alik yang berusia 55 tahun mengusahakan sawahnya di Kampung Tanjung Batu II di Usukan, Kota Belud, pendapatannya tidak pernah bertambah.
Tidak kira bagaimana dia dan petani lain berjaya meningkatkan hasil pengeluaran, mereka masih terpaksa menjual beras dengan harga ditetapkan oleh Padiberas Nasional (Bernas), syarikat yang mengimport dan mengedarkan beras untuk kerajaan.
Di Sabah, harga beras bagi setiap kilogram ditetapkan pada kadar 90 sen dan ramai pengusaha padi berasa monopoli Bernas tidak adil dalam menentukan harga makanan ruji itu.
“Lupakan tentang menjadi kaya,” kata Saim kepada The Malaysian Insight dalam lawatan ke sawah di Kota Belud, daerah penanaman padi utama Sabah yang meliputi kira-kira 10,000 hektar.
“Sekiranya mana-mana anak saya tidak berjaya di sekolah, mereka mungkin juga turut serta bersama saya di sawah,” katanya.
Saim bersawah - di atas tanah yang bukan miliknya - hanya sekali setahun dan dapat memperoleh sekitar RM12,000 daripada hasil tuaian tunggal.
Dia boleh mendapat sedikit lebihan sekiranya menuai dua kali setahun, tetapi kekurangan mesin menuai.
Tenaga fizikal tidak seimbang dengan pendapatan diperoleh, kerana sebahagian besar hasil daripada menuai digunakan untuk menyediakan penanaman dan penuaian padi berikutnya.
Selepas ditolak semua kos, Saim hanya akan memperoleh RM2,000 untuk keluarganya.
Jumlah ini digunakan untuk sepanjang tahun bagi menanggung kehidupan mereka sehinggalah tiba musim menuai seterusnya.
Dia menangkap ikan untuk menambah keperluan keluarganya dan mencari barangan besi untuk dijual apabila ada masa bagi mendapatkan tambahan pendapatan.
“Dengan duit sebanyak itu, secara kasar kami hanya ada kira-kira RM5 sehari untuk dibelanjakan.
“Tahun ini saya terpaksa menggunakan sebahagian wang yang sepatutnya digunakan untuk menuai kerana anak sulung saya akan masuk kolej,” kata Saim, yang juga meminjam daripada rakan untuk membiayai penuaiannya.
Pengeluaran beras di Sabah lebih 70% sebelum Lembaga Padi Sabah dibubarkan pada 1981 tetapi kini pada 30%.
Pihak lembaga membantu memastikan pembangunan dan kebajikan petani yang dibayar dan menyediakan modal kewangan.
Ini juga menyebabkannya menanggung hutang dan selepas pembubarannya, petani mula menjual tanah sawah atau membiarkannya apabila mereka tidak lagi menerima bantuan.
Penanaman padi bukan lagi memberi keuntungan dan hasil menurun apabila pesawah berpaling kepada sumber pendapatan lain.
Kerajaan Barisan Nasional negeri sejak itu mencurahkan usaha untuk meningkatkan sektor di Sabah, tetapi tidak dapat meningkatkan pengeluaran, dengan lebih ramai petani hilang minat selepas Bernas mengambil alih pengeluaran beras dan mengawal harga bagi pihak petani. – 10 Mac, 2019.