Iklan

Sundra Rajoo minta imuniti elak pendakwaan jenayah

The Malaysian Insight6 years ago11th Mar 2019Berita
Sundra rajoo aiac  full
Bekas pengarah AIAC Prof Dr Sundra Rajoo imuniti dari sebarang tindakan berhubung urusannya sebagai pengarah AIAC.– Gambar AIAC, 11 Mac, 2019
Iklan

PROF Dr Sundra Rajoo mahu mengelak dari ditahan atau dituduh atas semua dakwaan salah laku semasa beliau mengetuai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Beliau mendakwa memiliki imuniti sama seperti duta atau pesuruhjaya tinggi berdasarkan peruntukan undang-undang tertentu terkait dengan pelantikannya sebagai pengarah pusat itu.

Imuniti itu tidak boleh ditarik secara unilateral oleh kerajaan, hujah beliau dalam dokumen mahkamah yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Dokumen itu difailkan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Dalam tindakan mahkamahnya, beliau menamakan Menteri Luar Negeri, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Sundra letak jawatan pada November lalu susulan dakwaan yang dibuat melalui sepucuk surat layang yang dihantar kepada beberapa menteri, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.

Surat itu antara lain mendakwa Sundra menggunakan dana pusat timbang tara itu untuk memastikan menteri melanjutkan kontrak pelantikannya.

Sebaik pulang dari urusan rasmi di luar negara akhir November lepas, beliau ditahan pegawai SPRM dan disiasat.

Sundra menuntut imuniti dari sebarang tindakan berhubung urusannya sebagai pengarah AIAC.

Kerajaan sebaliknya berpendirian imuniti tersebut boleh ditarik balik bagi membolehkan siasatan menyeluruh ke atas dakwaan salah jenayah berkenaan, yang boleh juga membersihkan nama Sundra.

Dalam pernyataan menyokong permohonannya untuk semakan kehakiman, Sundra berkata beliau letak jawatan pengarah AIAC kerana dipaksa.

Beliau memohon mahkamah:

  • satu perintah menyekat Peguam Negara daripada mengenakan sebarang pertuduhan terhadapnya.
  • satu perintah menghalang SPRM daripada menahan beliau atau memulakan sebarang prosiding kehakiman terhadapnya.
  • satu perisytiharan bahawa berdasarkan tafsiran undang-undang yang wajar, imunitinya tidak boleh ditarik balik.

Sundra juga mencabar sebarang usaha oleh Vinayak Pradhan, pemangku pengarah AIAC, untuk membatalkan imunitinya kerana mendakwa ada kecenderungan beliau berprasangka.

Alasannya: Beliau sudah lama berurusan dengan Vinayak, yang merupakan rakan kongsi kanan di sebuah firma guaman terkemuka dan mempunyai reputasi baik dalam timbang tara.

Beliau dicadangkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk memangku jawatan pengarah AIAC selepas Sundra letak jawatan.

Tindakan Sundra memohon satu deklarasi bahawa beliau ada imuniti daripada ditangkap dan didakwa akan mengejutkan pakar undang-undang yang selama ini berpendapat tiada rakyat Malaysia berhak dikecualikan daripada undang-undang, termasuk raja-raja.

Di bawah undang-undang, raja-raja boleh dibawa ke mahkamah khas.

Lebih mengejutkan lagi, permohonannya jika dibenarkan oleh mahkamah akan menghalang Sundra daripada membersihkan namanya oleh pihak berkuasa daripada salah laku yang didakwa – arang yang akan terconteng sampai bila-bila.

Majlis Peguam, ketika mendukung langkah kerajaan membatalkan imuniti dan keistimewaan Sundra, berkata siasatan yang menyeluruh boleh membersihkan nama sesiapa saja yang terdakwa. – 11 Mac, 2019

Iklan
Iklan