Iklan

Standard Malaysia dalam kes bunuh libatkan juvana jauh ketinggalan

Timothy AchariamYvonne Lim6 years ago13th Mar 2019Berita
Tahfiz fire funeral 20170916 hasnoor 008
Kes bunuh melibatkan mangsa dan pemangsa remaja bawah umur sangat rumit dikendalikan, tetapi Malaysia perlu memastikan ruang keadilan untuk mangsa dan suspek terjaga, seperti dalam kes bunuh 21 pelajar tahfiz Keramat yang menggemparkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2019.
Iklan

PENDAKWAAN dua juvana atas tuduhan bunuh CEO Cradle Fund Nazri Hassan mendedahkan betapa Malaysia jauh ketinggalan daripada standard antarabangsa dalam layanan ke atas kanak-kanak yang dituduh terlibat dengan jenayah berat.

Peguam Edmund Bon berkata reformasi perundangan diperlukan dan perubahan dalam pengendalian perbicaraan dan pelaksanaan undang-undang perlu keluar daripada kepompong “tertumpu orang dewasa”.

“Masalah dan cabaran di Malaysia adalah perbicaraan atau (kaedah) undang-undang dikendalikan dalam cara yang sangat ‘tertumpu orang dewasa’ kerana kita tak banyak kes di mana kanak-kanak dibawa (untuk didakwa) kerana kes (jenayah) berat.

“Reformasi perundangan perlu berlaku, dalam terma menambahbaik Akta Kanak-Kanak dan mematuhi banyak tanggungjawab antarabangsa di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC).”

Malaysia adalah negara terlibat dalam UNCRC tetapi standard ditetapkan konvensyen itu tidak dilaksanakan, katanya.

Ini terbukti dalam layanan pihak berkuasa yang membenarkan dua remaja disyaki terlibat dalam kes bunuh Nazrin hadir ke mahkamah memakai uniform sekolah pada hari mereka didakwa. Remaja tersebut ditahan pada pagi hari yang sama di rumah mereka.

“Ini salah…bila budak bawah umur didakwa, perlu ada pengawalan rapi (ke atas hak kanak-kanak) dilakukan,” kata Bon.

Remaja lelaki tersebut didakwa pada 4 Mac lalu bersama-sama balu Nazrin, Samiran Muzaffar, dan seorang warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang didakwa tanpa kehadiran. Samirah dan kedua-dua remaja berkenaan mengaku tak bersalah dan minta dibicarakan.

Walaupun hakim mengeluarkan arahan sekatan sepenuhnya ke atas identiti kedua-dua remaja bawah umur tersebut, gambar dan rakaman video mereka- walaupun dikaburkan mukanya- dikeluarkan beberapa media.

Semalam, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili kedua-dua remaja tersebut, berkata salah seorang mereka diserang seksual dan fizikal oleh tahanan lain dan memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memindahkan anak guamnya dari Pusat Tahanan Sentul ke Puncak Alam.

Walaupun Malaysia mempunyai Akta Kanak-Kanak 2001, ia didapati hanya menyediakan “garis panduan terhad berkaitan isu seperti pilihan lain untuk tangkapan, sekatan penggunaan kekerasan atau penahanan, tempoh dan keadaan dalam tahanan polis, kehadiran ibu bapa, pegawai perunding cara, atau peguam sepasa prosedur siasatan”.

Situasi ini didedahkan oleh laporan Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa PBB (Unicef) dikeluarkan September lepas.

“Kes terbaru jelas sekali menunjukkan wujud keperluan mendesak untuk reformasi lebih menyeluruh ke atas sistem kehakiman juvana. Responds menyeluruh, terkhusus untuk kanak-kanak dalam konflik dengan undang-undang yang diperlukan melindungi hak dan maruah mereka,” kata laporan.

Cadangan untuk memperkasa sistem kehakiman juvana di Malaysia juga dibuat dalam laporan yang diminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tambahnya.

Ini termasuklah pindaan Akta Kanak-Kanak untuk memasukkan peruntukan terperinci dalam aspek tahanan, siasatan, ikat jamin dan reman, tingkah laku polis; pembangunan aturan tetap atau kod amalan terperinci polis bagi pengendalian kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang; mengetatkan lagi pelaksanaan peruntukan privasi Akta Kanak-Kanak, dan menghukum media yang melanggar hak kanak-kanak.

T Nhaveen adalah satu lagi kes bunuh melibatkan remaja yang menggemparkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2019.

Kes bunuh lain melibatkan kanak-kanak bawah umur

Walaupun jarang berlaku, beberapa kes masih wujud di Malaysia melibatkan kanak-kanak bawah umur yang didakwa atas jenayah bunuh. Berikut adalah empat kes yang jadi tumpuan negara:

Buli yang membunuh T Nhaveen

T Nhaveen, 17, dibuli dan diseksa oleh sekumpulan remaja berhampiran rumahnya di Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada 9 Jun 2017.

Buli itu berlaku dipercayai kerana mangsa dikatakan “keperempuanan”.

Nhaveen diisytiharkan mati otak sebaik tiba di hospital dan koma selama enam hari sebelum meninggal dunia pada 15 Jun.

J Ragesuthen dan S Gokulan, kedua-duanya berumur 18 tahun, bersama-sama dua yang lain, seorang berusia 17 tahun dan seorang lagi baru berusia 18 tahun pada Julai 2017, didakwa membunuh Nhaveen.

Semua mereka didakwa secara bersama di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka juga berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana mendatangkan kecederaan kepada T Previnn, kawan Nhaveen, yang berada di tempat dan masa kejadian berlaku.

Perbicaraan belum bermula.

Kebakaran pusat tahfiz Keramat

Dua remaja, berusia 16 tahun pada September 2017, berdepan pertuduhan bunuh 23 mangsa kerana memulakan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Dalam kebakaran itu, 21 pelajar dan dua guru terbunuh.

Kebakaran yang bermula sebelum subuh pada 14 September itu pada mulanya disyaki kerana litar pintas.

Tetapi, siasatan polis mendapati ia tindakan balas dendam antara kumpulan remaja pelajar sekolah tahfiz dan remaja yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Kedua-dua tertuduh, yang kini berusia 18 tahun, berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Perbicaraan sedang berlangsung dan akan disambung semula 3 April depan.

Remaja bunuh warga emas dalam cubaan merompak

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman pada April 2016 kerana membunuh Jariah Abu Bakar, 62, di rumahnya beralamat di Blok 9, Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, Johor.

Dia melakukan kesalahan tersebut pada Julai 2014 dalam cubaan merompak rumah Jariah, membelasahnya hingga mati menggunakan sebatang kayu.

Remaja tersebut memecah masuk rumah mangsa melalui siling sebelum membuka pintu membolehkan rakan-rakannya masuk. Mereka mencuri dua buah telefon bimbit dan seutas rantai emas.

Remaja itu dijatuhkan penjara selama mana diperkenankan Sultan Johor di bawah Seksyen 97 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dia merayu untuk membatalkan sabitan tetapi Mahkamah Rayuan pada Februari 2017 memutuskan tiada merit dalam rayuan itu dan menolaknya.

Akta Kanak-Kanak perlu dipinda supaya hak dan maruah juvana terlibat terpelihara dan pada masa sama keadilan untuk mangsa tertegak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2019.

Budak lelaki 13 tahun bunuh anak perempuan guru tuisyen

Pada Mei 2002, seorang budak lelaki berusia 13 tahun membunuh anak perempuan guru tuisyennya berusia 11 tahun dengan menikam dan mengelarnya lebih 20 kali.

Mayat mangsa ditemui ibunya berlumuran darah di bilik air di rumah mereka di Setapak.

Budak tersebut dikatakan orang terakhir dilihat bersama mangsa. Dia sampai di rumah guru tuisyennya sejam lebih awal, ketika itu guru tersebut belum balik dari sekolah. Beliau meminta anak perempuannya membenarkan budak lelaki tersebut masuk ke dalam rumah.

Ketika perbicaraan, mangsa dikatakan berulang kali mengejek budak lelaki tersebut, memanggilnya “gemuk”.

Budak lelaki itu dilaporkan berulang kali memberitahu gurunya selepas pembunuhan, “Cikgu, maaf, maaf. Cikgu, maaf…saya tak tahu mengapa saya buat (bunuh anaknya).”

Mahkamah Rayuan membebaskan remaja tersebut selepas Hakim Gopal Sri Ram, Zulkefli Ahmad Makinudin dan Raus Sharif memutuskan yang dia sebaik berusia 18 tahun perlu dibebaskan kerana tiada peruntukan undang-undang untuk hukuman kanak-kanak disabitkan membunuh.

Tiga bulan kemudian, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan menghantar remaja tersebut kembali ke penjara, untuk ditahan selama perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Bila remaja bawah umur didakwa bunuh

Juvana yang didakwa secara sendirian kerana kesalahan jenayah mulanya akan menghadap Mahkamah Khas Kanak-Kanak, kata Bon kepada The Malaysian Insight.

Pengecualian berlaku sekiranya juvana terbabit didakwa bersama orang dewasa, seperti kes bunuh Nazrin, apabila suspek juvana didakwa di mahkamah majistret.

Sepanjang bicara, seorang penjaga perundangan boleh mewakili juvana terbabit, menerusi Biro Bantuan Guaman atau menerusi peguam yang dilantik mewakili tertuduh.

Peranan penjaga perundangan, kata Bon, adalah untuk memberi sokongan kepada juvana terbabit sepanjang prosiding.

“Bukan untuk membela (kanak-kanak) terhadap pertuduhan, tetapi untuk menasihati dan membantu kanak-kanak terbabit, jika misalnya, prosiding ambil masa lama, atau jika mereka mahu berehat, atau mereka tak faham apa yang sedang berlaku.”

Hakim mempunyai banyak budi bicara dalam kes melibatkan remaja bawah umur, katanya.

“Hakim mempunyai budi bicara untuk menyekat nama mereka diterbitkan atau lain-lain bentuk pengenalan diri, meminta tertuduh tidak digari, memastikan kanak-kanak diasingkan daripada orang dewasa.”

“Isu besar” adalah sama ada ikat jamin akan diberikan, katanya.

“Ikat jamin selalunya diberikan dalam situasi tertentu, misalnya jika tertuduh lemah, atau kanak-kanak atau wanita mengandung.

“Sebelum ikat jamin diberikan, hakim akan meminta laporan percubaan. Jabatan Kebajikan Masyarakat kemudian akan diminta menemuduga kanak-kanak terbabit dan keluarganya, kemudian keluarkan laporan percubaan untuk hakim memutuskan sama ada adakah wujud atau tidak faedah terbaik untuk kepentingan kanak-kanak tersebutnya bagi membenarkan ikat jamin.”

Jika disabitkan bersalah, mereka akan ditahan dalam pusat tahanan juvana selama perkenaan Agong dan boleh memohon pengampunan. – 13 Mac, 2019.

Iklan
Iklan