Iklan

Tubuh badan pakar selesai diskriminasi Eropah terhadap kelapa sawit, kata ahli Parlimen 

Jason Santos6 years ago13th Mar 2019Berita
Parliament mustapa mohamed 161018 tmiseth 25
Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed berkata usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu pada masa ini tidak memadai.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2019
Iklan

AHLI Parlimen Jeli Mustapa Mohamed mencadangkan penubuhan satu badan khas yang terdiri daripada pakar untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah diskriminasi minyak sawit Malaysia oleh pasaran Eropah dan Parlimen.

Beliau berkata, usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu pada masa ini tidak memadai untuk melawan gerakan anti-minyak kepada sawit Eropah, yang kini menjejaskan industri minyak sawit. 

“Walaupun beberapa negara Eropah bersimpati dengan Malaysia, namun kita berdepan dengan gerakan alam sekitar yang agresif di Eropah. 

“Saya sedar beberapa badan sudah menangani isu itu, namun ia tidak memadai. 

“Kerana kepentingan industri, kita perlu tubuhkan satu pasukan untuk menyelesaikan masalah itu, merentasi agensi, bukan sekadar Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sahaja,” katanya di Parlimen hari ini. 

Mustapa berkata, pasukan itu mestilah terlatih dan kompeten, yang memainkan peranan sama seperti pasukan Malaysia yang ditubuhkan apabila Amerika Syarikat mendakwa minyak sawit boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit jantung. 

“Pasukan lama terdiri daripada ahli seperti Dr Augustine Ong, yang merupakan pengerusi badan penyelidikan minyak antarabangsa dan lain-lain. Mereka berjaya mematahkan serangan terhadap minyak sawit kita ketika itu,” katanya. 

Mustapa juga mencadangkan Malaysia bekerjasama dengan negara lain yang turut terjejas oleh kempen anti-minyak, seperti Indonesia, untuk membentuk sekretariat dan menyediakan dana untuk tujuan itu.

“Ini penting untuk masa depan negara kita dan pekebun kecil, dan memastikan industri minyak sawit terus berkembang,” katanya. – 13 Mac, 2019

Iklan
Iklan