Bekas pemimpin Umno Sabah mungkin masuk Bersatu esok
Iklan
BEKAS-bekas pemimpin Umno Sabah mungkin akan menyertai Bersatu secara rasmi esok.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyerahkan kad keahlian mereka pada satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada pukul 5 petang esok.
Adun Karanaan Masidi Manjun enggan mengesahkan atau menafikan, sebaliknya hanya berkata beliau berada di Kuala Lumpur.
Apabila terus diasak, beliau kemudian berkata: “Saya agaklah.”
Adun Sulaman Hajiji Mohd Noor yang mengetuai enam Adun, lima ahli Parlimen dan 21 ketua bahagian keluar dari Umno Sabah pada 12 Disember tahun lalu, juga enggan memberi komen.
Dr Mahathir pada bulan lepas mengumumkan Bersatu akan membuka cawangannya di Sabah.
Tiga hari lepas, Hajiji mengesahkan yang cawangan Bersatu Sabah akan dilancarkan di Kota Kinabalu pada 6 April.
Parti Warisan Sabah pimpinan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada awalnya menentang Bersatu masuk ke negeri itu.
Bagaimanapun, beliau berkata Warisan tidak boleh menghalang kemasukan Bersatu kerana undang-undang negeri itu membenarkan parti baharu dibentuk. – 13 Mac, 2019.