Iklan

Dimalukan dan dipinggir, gelandangan Kota Kinabalu buru tenang jalanan

Jason Santos6 years ago17th Mar 2019Berita
Unwanted people005
Gelandangan Kota Kinabalu adalah masalah di ibu kota negeri itu yang memerlukan tindakan kemanusiaan segera, dan antara mereka wujud kisah derita hidup yang tidak teratasi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 17 Mac, 2019.
Iklan

HAMPIR semua gelandangan yang diangkut pihak berkuasa di Kota Kinabalu dalam mana-mana serbuan akan kembali ke jalanan- satu-satunya tempat mereka menemui sedikit ketenangan hidup.

Sejak Warisan membentuk kerajaan negeri, masih belum ada operasi dilakukan, dan gelandangan terus memenuhi jalan-jalan Kota Kinabalu.

Setiap seorang gelandangan, ada kisah tersendiri- tentang cinta yang hilang dan hidup yang dipinggirkan.

Salah seorang mereka adalah warga emas, Andiri Ewoh, yang ditinggalkan di Stesyen Bas Jalan Gaya oleh kawannya sendiri sejak tahun lepas.

Lelaki berusia 68 tahun berasal dari Ranau itu menerima tawaran kawannya yang berjanji akan mencari pekerjaan untuknya sebagai pengawal keselamatan.

“Syarikat tolak saya kerana umur saya. Tanpa kerja, saya mahu pulang ke kampung dengannya, tetapi dia tinggalkan saya seorang di sini.

“Dia pinjam telefon saya, kata mahu buat panggilan dan suruh saya tunggu dia di stesyen bas. Dia hilang selepas itu,” kata Ewoh ketika di temui di stesyen bas, kawasan yang kini jadi tempat tidurnya.

Katanya, beliau tidak ada duit untuk menelefon ahli keluarganya di Ranau, yang jaraknya dua jam memandu dari Kota Kinabalu. Beliau meneruskan hidup dengan makanan sumbangan restoran atau orang awam yang bersimpati.

Ada antara gelandangan warga emas yang dibawa dari kampung dan ditinggalkan di Kota Kinabalu oleh keluarga atau rakan-rakan, tiada tempat mengadu, mereka terpaksa tidur di jalanan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 17 Mac, 2019.

Kisah Ewoh serupa dengan ramai lagi cerita warga emas gelandangan, ada antara mereka yang berkata mereka dibawa ke ibu kota Sabah itu dari kampung dan ditinggalkan di sana.

Setiap tahun, Jabatan Kebajikan Sabah “mengutip” sekitar 30-40 orang gelandangan. Tetapi, ramai antara mereka kembali ke jalanan selepas menghabiskan masa di pusat pemulihan.

Ketua Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Sabah Roslan Baba, bagaimanapun, berkata, gelandangan orang tempatan “masih terkawal” dan “90% masalah melibatkan pendatang haram”.

Gelandangan orang tempatan selalunya ditinggalkan kawan atau keluarga, atau terlalu malu untuk pulang ke kampung halaman kerana kisah silam.

Salah seorang daripada mereka ialah Andre James, 41, yang ditinggalkan teman wanitanya dua tahun lalu.

Kampungnya di Inobong Penampang, hanya setengah jam perjalanan darat, tetapi beliau tidak mampu menanggung malu apabila penduduk kampung mengejeknya tentang kisah silamnya.

“Bukan keluarga saya yang usir saya. Orang kampung (yang usir),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sejak muda, James kerap keluar masuk negara selepas tersalah pilih kawan dan terlibat dalam banyak pergaduhan melibatkan kumpulan gangster.

Tempoh terpanjang beliau berada dalam penjara adalah lapan tahun kerana kes bunuh ketika pergaduhan.

Beliau hanya berusia 18 tahun ketika itu, dan juga hilang tangan kiri ditetak parang.

Menurut James, beliau cuba menetap di kampung tetapi jiran-jiran dan saudara jauh selalu mengingatkan tentang kesilapannya, menggunakan dirinya sebagai contoh pengajaran kepada orang lain.

Gelandangan Kota Kinabalu seperti gelandangan di tempat lain tidak mengira usia, gender dan kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 17 Mac, 2019.

Satu-satunya cara untuk menghalang semua cakap buruk dan negatif itu adalah meninggalkan kampung selama-lamanya. James keluar kampung, berjumpa seorang wanita yang dicintainya. Kedua-dua mereka mendapatkan pekerjaan dan berjaya menyewa sebuah apartment di Ketiau, Penampang.

Tetapi, kisah silam mengejarnya apabila majikan teman wanitanya datang ke apartment mereka selepas mengetahui rekod jenayahnya dan menasihati teman wanitanya meninggalkan James.

Tindakan tersebut menimbulkan kemarahannya dan menyerang majikan itu, menyebabkan beliau sekali lagi masuk penjara. Selepas pulang ke apartment tersebut usai bebas, teman wanitanya sudah tiada.

Bagi meneruskan hidup di jalanan, James kini mengemis di luar sebuah kedai kopi, juga diberikan makanan dan tempat tidur oleh tauke kedai kopi tersebut, sebagai balasan menjaga kedai itu pada waktu malam apabila ia ditutup.

Jabatan Kebajikan Sabah akan mendapatkan arahan mahkamah untuk menahan gelandangan selama 30 hari untuk menyediakan laporan dan cuba mengesan keluarga mereka, kata pegawai kebajikan Roslan.

Jika saudara terdekat mereka gagal dikesan, gelandangan berkenaan akan dimasukkan ke Pusat Pemulihan Desa Bina Diri selama tiga tahun. Di sana, mereka akan diajar kemahiran seperti pertanian dan jahitan.

Tetapi, pusat tersebut hanya menerima warga Malaysia berusia antara 18 hingga 59 tahun.

Gelandangan pendatang haram pula akan dihantar ke pusat tahanan sementara untuk pendatang.

Kedua-dua pusat terletak di Menggatal. Pusat pemulihan itu mula beroperasi pada April 2013 selepas pelaksanaan Akta Orang-Orang Papa 1997 oleh kerajaan persekutuan.

Roslan berkata sindiket mengemis bukan masalah besar, kerana kebanyakan gelandangan yang mengemis berbuat demikian atas kerelaan sendiri.

Terdapat juga kes masalah mental dalam kalangan gelandangan, dan nyanyuk dalam warga emas gelandangan.

Mereka yang berkaitan akan dihantar ke hospital mental berhampiran Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Kadang-kala, gelandangan akan mengenal kawan atau kenalan lama yang terserempak dengan mereka di jalan.

Azirul Ajimin berkata, beliau mengenal seorang gelandangan baru yang pernah menjadi penjawat awam di Jabatan Air Sabah. Menurutnya, lelaki tersebut “jadi gila” selepas ditinggalkan isteri.

“Dia sekarang merayau sekitar bandar, kadang-kadang bercakap dengan diri sendiri,” kata Azirul. – 17 Mac, 2019.

Iklan
Iklan