Iklan

Yang menang ditentukan di mahkamah

The Malaysian Insight6 years ago14th Mar 2019Berita
Shafee abdullah 040718 tmiseth 02
Muhammad Shafee Abdullah perlu membuktikan di mahkamah kebenaran berpihak kepadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2019.
Iklan

PADA akhirnya, juara sebenar bertarung di gelanggang, padang dan balapan.

Floyd Mayweather, Pep Guardiola dan Usain Bolt bercakap besar tetapi kata-kata mereka ada makna kerana apabila masanya tiba, mereka membuktikannya.

Mereka merebut peluang untuk membuktikan semua pengkritik dan penentang mereka salah.

Barangkali itulah pengajarannya kepada peguam Muhammad Shafee Abdullah dan anak guamnya, Najib Razak.

Mereka berdua suka bercakap.

Malangnya, mereka banyak bercakap di luar mahkamah ketika peguam terkemuka itu diambil khidmatnya oleh bekas perdana menteri yang berdepan deretan pertuduhan penyelewengan dan pengubahan wang haram terkait dengan 1MDB.

Najib bertegas mempertahankan diri, menyalahkan penasihatnya dan lembaga 1MDB yang tidak memaklumkan kepada mengenai aliran wang yang masuk ke akaun peribadinya dari syarikat milik kerajaan itu.

Najib dan Shafee dengan penuh yakin berkata kes itu tidak akan lekat kerana kes pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu tidak kukuh.

Tertuduh dan peguamnya percaya mereka akan pembelaan yang kuat dan berkata mereka tidak sabar menunggu kes dibicarakan.

Tetapi setakat ini, itu hanya cakap-cakap saja.

Najib Razak selepas kalah PRU14 jadi tumpuan dengan pelbagai gimik kempen bossku dilancarkannya, tetapi keadilan yang dimahukan rakyat letaknya di mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2019.

Yang terbaru Shafee bercakap tentang kecederaan yang dialaminya apabila anjing peliharaannya menerkam beliau. Beliau mengadu kecederaannya itu di mahkamah pada Selasa dan berkata pergelangan tangan kirinya mungkin retak.

Rakyat Malaysia yang tidak sabar menunggu kes itu dibicarakan resah dengan gangguan ini, satu daripada beberapa penangguhan kes itu.

Maka tidak hairanlah, banyak yang melepaskan geram kepada peguam itu di Internet kerana cerita anjingnya. Mereka malah kecewa apabila mahkamah seolah-olah tidak faham mustahaknya kes itu dibicarakan secepat mungkin.

Bimbang hilang pengaruh di mata umum, Shafee semalam menulis sepucuk surat panjang menceritakan bagaimana kecederaan itu berlaku. Apa pun, anjing tidak salah.

Beliau cenderung mengalihkan beban kelengahan dan penangguhan kes itu kepada Peguam Negara Tommy Thomas. Beliau cenderung menggambar dirinya dan anak guamnya mangsa peguam negara.

Cuba teka apa jadi?

Majoriti orang tidak berminat dengan naratifnya. Mereka terus menghentam beliau di media sosial dan menyalahkannya kerana penangguhan itu.

Kalau Shafee percaya surat panjangnya akan meraih simpati dan mempengaruhi umum, pandangannya itu salah.

Rakyat Malaysia akan menilai Thomas dengan hasil perbicaraan kes berkaitan 1MDB. Mereka juga akan menghakimi tindakan Najib dan Shafee semasa perbicaraan nanti.

Mereka akan terus mempersendakan apa yang berlaku di luar perbicaraan dan cakap-cakap di luar mahkamah.

Ini kerana, juara sebenar hanya membuktikannya di gelanggang, padang dan balapan – dan di mahkamah. – 13 Mac, 2019.

Iklan
Iklan