Video hina PM, aktivis Sabah ditahan di Cheras
Iklan
AHLI politik Jufazli Shi Ahmad yang menggunakan media sosialnya untuk menyerang Dr Mahathir Mohamad ditahan polis di rumahnya awal pagi tadi.
Aktivis berusia 31 tahun dari Sandakan, Sabah ditahan di rumahnya di Cheras, Selangor bersama teman wanita berusia 31 tahun sekitar jam 4 pagi tadi.
The Malaysian Insight difahamkan Jufazli ditahan kerana enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Sumber dari Bukit Aman berkata, Jufazli membuat video rakaman secara langsung di akaun Facebooknya sementara polis menangkapnya.
“Dalam video itu, dia menghina pasukan polis manakala teman wanitanya cuba menghalang polis daripada menangkap Jufazli,” katanya.
Polis juga merampas dua telefon pintar dan komputer riba yang dipercayai digunakan oleh bekas ahli DAP Sabah untuk menghina perdana menteri di laman sosialnya.
Jufazli sebelum ini di dalam videonya memperlihatkan sokongannya terhadap Dr Mahathir tetapi pandangannya seolah-olah berubah semalam berikutan skandal RM90 juta yang melibatkan PAS.
Berdasarkan catatannya, aktivis itu membuat kenyataan terhadap Dr Mahathir berikutan kegagalan perdana menteri mengambil tindakan terhadap PAS yang didakwa menerima wang daripada Umno.
Jufazli mendakwa dia adalah yang pertama memberikan semua bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu sebelum editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown melaporkan skandal itu.
Polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan sengaja dengan mencetuskan pelanggaan keamanan dan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Seksyen 233. – 16 Mac, 2019.