Hanya BN lawan Pakatan pada PRU14
Iklan
PERTEMBUNGAN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sahaja manakala kehadiran pihak lain hanyalah pengacau (spoiler), kata Mohamad Sabu.
Presiden Amanah dan juga timbalan presiden PH itu berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Amanah Selangor hari ini.
Justeru, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yakin, parti lain tidak akan mendapat sokongan rakyat.
“Saya yakin parti lama saya akan hilang wang deposit di pantai barat Semenanjung,” kata Mat Sabu dalam ucapannya itu yang dipercayai ditujukan kepada PAS.
Pada sidang media selepas majlis perasmian itu, Mat Sabu menjelaskan yang jangkaan beliau itu berdasarkan pengalaman beliau sebagai ahli dan pemimpin PAS sebelum ini.
“Ia berdasarkan pengalaman saya ketika PAS bertanding bersendirian di beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Kebanyakannya kita hilang wang pertaruhan.
“Kita hanya menang di beberapa tempat apabila kita bersama DAP dan PKR dan sebelum itu dengan Semangat 46.
“Sebab itu apabila PAS bertanding bersendirian, ia akan dapat undi ahli core (asas) sahaja. Jadi bila PAS bertanding sendirian di empat negeri itu, ia akan kalah teruk. Itu pengamatan saya berdasarkan 40 tahun dalam PAS dan politik,” kata bekas timbalan presiden PAS itu.
Mat Sabu juga berkata, jika pertandingan tiga penjuru, tidak semestinya akan memberi BN kemenangan.
“Apabila tiga penjuru, undi Melayu akan pecah tiga sedangkan undi bukan Melayu khasnya Cina akan bersama PH,” kata Mat Sabu. – 10 September, 2017.