Amanah mahu Mat Sabu bertanding di Selangor
Iklan
AMANAH Selangor akan menurunkan presiden parti mereka, Mohamad Sabu bertanding di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Perkara itu dikemukakan oleh Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim ketika berucap di majlis pembukaan Konvensyen Amanah Selangor hari ini.
“Bagi tujuan meningkatkan kekuatan Amanah dan PH di Selangor, sukacita saya umumkan hari ini bahawa Amanah Selangor akan menurunkan nama-nama besar pimpinan nasional sebagai calon di Parlimen dan DUN Selangor.
“Antara mereka yang akan bertanding di Selangor termasuklah presiden Amanah, Mohamad Sabu, naib presiden Hasanudin Mohd Yunus, pengarah komunikasi Khalid Samad, pengarah strategi Dr Dzulkefly Ahmad, ketua Awan (Wanita) nasional Dr Siti Mariah Mahmud dan Hanipa Maidin,” kata Izham dalam ucapan.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu pada sidang media selepas itu menjelaskan, ucapan Izham itu bersifat sebagai cadangan sahaja dan akan dibincangkan di peringkat parti dan PH.
“Bukan Selangor saja cadang, mungkin negeri lain juga membuat cadangan yang sama,” kata Mat Sabu, cuba mengelak dari isu itu.
Namun begitu, Izham ketika ditanya mengenai cadangan itu berkata, pihaknya amat serius dengan cadangan itu.
“Saya sangat serius (dengan cadangan ini). Kalau tidak takkan saya mahu umumkan,” kata Izham mengulas pandangan Mat Sabu itu.
Katanya, Amanah mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan calon.
“Kawasan dan negeri berhak membuat cadangan. Sekarang ini kita berada di peringkat negeri untuk mencadangkan 3 nama. Jadi kami cadangkan beliau untuk bertanding di Selangor.
“Lagipun dia tinggal di negeri ini (Selangor),” kata Izham kepada media.
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang turut serta di konvensyen ini menyambut baik cadangan Izham agar Mat Sabu bertanding di Selangor.
“Kami sangat mengalu-alukan beliau,” kata Pua kepada The Malaysian Insight ketika ditanya mengenainya.
Mat Sabu sebelum ini pernah menang dua penggal di Kubang Kerian, Kelantan dan satu penggal di Kuala Kedah (PRU1999).
Dalam PRU13, Mat Sabu bertanding di kerusi Parlimen Pendang, Kedah tetapi kalah. Sebelum itu beliau kalah di Kuala Kedah dalam PRU11 dan Kuala Terengganu dalam PRU12. – 10 September, 2017.