Pengetua asing pelajar berdasarkan agama akan diganti, kata timbalan menteri
Iklan
PENGETUA sebuah sekolah mubaligh di Kota Kinabalu akan digantikan susulan tindakannya memisahkan antara pelajar Islam dan bukan Islam bagi kelas Tingkatan Satu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Beliau berkata tindakan sedemikian hanya dilakukan oleh mereka yang mempunyai mentaliti cetek.
“Jabatan Pendidikan Negeri telah memaklumkan pegawai daripada pengurusan sekolah, manakala Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti akan pergi ke sekolah tersebut esok bagi membantu pembetulan dilakukan.
“Saya telah meminta jabatan itu untuk segera melakukan tindakan yang perlu.
“Laporan mengenai perkara itu sudah siap,” katanya dalam satu pesanan Whatsapp kepada sorang wakil rakyat DAP, yang dikongsi kepada pemberita hari ini.
Tindakan memisahkan pelajar Islam dan bukan Islam menimbulka bantahan di kalangan ibu bapa anak-anak di SM All Saints, berhampiran Likas, Kota Kinabalu, minggu lalu.
Pengetua sekolah tersebut yang memegang ijazah kedoktoran itu juga turut dipanggil bagi menjelaskan kepada ibu bapa pelajar pada 9 Mac namun ramai di kalangan ibu bapa mengatakan alasan yang diberikan pengetua tersebut hanya untuk memudahkan guru, bukan demi keselesaan para pelajar.
Satu petisyen yang dilancarkan dalam talian mendapat ribuan tandatangan. Ia antara lain mendakwa pengetua tersebut mempromosikan pengasingan kaum dan agama.
Teo berkata tidak ada alasan logik dalam tindakan pengetua tersebut sedangkan sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk mendidik pelajar menghormati satu sama lain dan perpaduan kaum.
Beliau berkata pemisahan agama sama buruk dengan pengasingan kaum.
“Hanya seorang pengurus sekolah yang bermentaliti cetek akan berbuat demikian. Ia hanya bagi memudahkan kakitangan sekolah dalam pelajaran moral dan Islam, di mana agenda yang lebih besar (bagi pendidikan) adalah perpaduan,” katanya. – 17 Mac, 2019.