Isu asing pelajar mengikut agama di sekolah Sabah selesai
Iklan
KONTROVERSI berhubung pengasingan kelas mengikut agama di sebuah sekolah mubaligh Kota Kinabalu diselesaikan hari ini selepas campur tangan jabatan pendidikan.
“Rakyat Sabah merupakan model kepada keharmonian kaum dan agama. Kebanyakan keluarga di negeri ini terdiri daripada perkahwinan campur dan hampir tiada langsung konflik agama antara kami,” kata Menteri Pendidikan dan Inovasi negeri Dr Yusof Yakob pada sidang media di SM All Saint, Kota Kinabalu hari ini.
“Saya percaya apa yang berlaku hari ini adalah pengetua mungkin terlepas pandang bahawa keharmonian kaum dan agama mempunyai agenda lebih besar berbanding keputusannya itu.”
Katanya isu itu sudah dianggap selesai.
“Insiden itu berlaku bukan kerana agama atau kaum tetapi kerana salah faham dan pihak sekolah terlepas pandang bahawa keharmonian kaum memainkan agenda lebih besar di sini,” katanya.
SM All Saint yang merupakan salah satu sekolag tertua di Sabah, menjadi perhatian selepas pengetuanya Dr Mary Gombidau mengarahkan kelas Tingkatan Satu diasingkan mengikut pelajar Islam dan bukan Islam.
Petisyen dalam talian untuk menghentikan pengasingan itu dilancarkan dan setakat ini ia mendapat 15,000 tandatangan.
Turut hadir pada sidang media itu timbalan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Dr Mohd Kassim Mohd Ibrahim dan Mary.
Bagaimanapun, nasib pengetua sekolah berkenaan sama ada akan ditukarkan masih menjadi tanda tanya sehingga diputuskan oleh menteri pendidikan berdasarkan siasatan jabatan pendidikan.
Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyedari jumlah pelajar beragama Islam semakin bertambah di sekolah berkenaan dan memohon untuk mendapatkan lebih ramai guru Agama.
Ia bagaimanapun ditolak jabatan pelajaran dan pengetua “terpaksa” mengasingkan pelajar untuk memudahkan pengajaran Pendidikan Moral dan Agama
Difahamkan juga pengasingan itu dibuat kerana kekurangan kelas. – 18 Mac, 2019