Kekurangan guru punca asing pelajar ikut agama di Sabah
Iklan
KONTROVERSI berkenaan pengasingan kelas agama di sebuah sekolah mubaligh di Sabah berpunca daripada isu yang lebih serius- kekurangan guru dan kemudahan pendidikan di negeri itu walaupun jumlah pelajar semakin bertambah.
Situasi ini menyebabkan Pengetua SM All Saints Dr Mary Gombidau memutuskan untuk mengasingkan kelas Tingkatan Satu mengikut agama pelajar, tindakan yang dianggap menyelesakan pelajar Islam untuk menghadiri kelas agama dan pelajar bukan Islam mengikut kelas mata pelajar Moral tanpa bertukar kelas.
Pihak yang mengetahui isu itu secara mendalam berkata, ia berpunca daripada kekurangan tenaga pengajar dan kemudahan sehingga menyebabkan pengetua membuat keputusan mengasingkan kelas berdasarkan agama pelajar.
Seorang bapa, Robert Francis Peter, berkata beliau juga mengetahui sebuah sekolah lain di Kota Kinabalu, SK Mutiara yang terpaksa melakukan perkara sama.
Seorang bekas exco Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) All Saints berkata mereka cuba menghalang keputusan Gombidau tetapi diberitahu supaya tidak masuk campur pentadbiran sekolah.
Ini menyebabkan wujud tentangan dan petisyen dalam talian untuk menentang pengasingan pelajar Tingkatan Satu sekolah itu.
Katanya, perkara itu juga berkaitan dengan cara jadual pengajaran sekolah dibentuk, di mana jumlah pelajar Islam semakin bertambah dan untuk memenuhi keperluan ini, Gombidau mengasingkan kelas supaya sesi mata pelajaran Moral dan Pendidikan Islam mudah diuruskan.
Seorang guru yang bercakap atas dasar kerahsiaan identiti berkata, kebanyak sekolah mempunyai jadual pengajaran yang hampir serupa dan untuk menguruskan sesi dua mata pelajaran tersebut, pelajar diletakkan dalam satu kelas.
“Saya tak pasti kekecohan tentang di All Saints. Tetapi, di sekolah seperti SMK Sanzac, jumlah pelajar Islam mengatasi jumlah pelajar bukan Islam.
“Jadi, sekolah memutuskan meletakkan pelajar bukan Islam dalam satu kelas untuk memudahkan pengajaran dilakukan.
“Misalnya, hanya ada 12 pelajar bukan Islam dalam Tingkatan Dua sekolah itu. Keseluruhannya, ada tujuh kelas Tingkatan Dua di sekolah, dan mereka bercampur dengan pelajar Islam dalam (satu) kelas seramai 38 pelajar.
“Enam kelas lagi semuanya pelajar Islam,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau percaya masalah dihadapi Gombidau mungkin berpunca daripada peningkatan mendadak kemasukan pelajar Islam untuk tahun ini, menambah yang sekolah seperti All Saints secara tradisi memang mempunyai majoriti pelajar bukan Islam.
Seorang lagi ibu bapa yang ditemui berkata, ibu bapa pelajar Tingkatan Satu hanya mengetahui pada 9 Mac yang sekolah sudah memohon guru tambahan untuk mata pelajaran Pendidikan Islam tetapi ditolak Jabatan Pendidikan Negeri kerana kekurangan guru.
Sabah berdepan masalah kekurangan guru Pendidikan Islam yang serius.
Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Dr Yusof Yakob berkata, masalah di sekolah berkenaan sudah selesai dan semua pihak perlu mengambil pengajaran dan meneruskan kehidupan.
“Apa yang lebih penting sekarang adalah tiada lagi pengasingan di sekolah itu. Pengetua mengakui beliau tersilap pandangan sebelum buat keputusan,” katanya.
Tetapi, Yusof turut mengakui masalah kekurangan kemudahan di sekolah bandar, malah ada sekolah yang terpaksa menempatkan sehingga 60 pelajar dalam satu kelas.
Masalah bertambah buruk, tambahnya, kerana kebanyakan ibu bapa yang bekerja di bandar gemar menghantar anak-anak mereka ke sekolah bandar seperti All Saints.
“Tetapi, kami cuba sehabis baik untuk menyelesaikan masalah ini, (mungkin) membina bilik kelas baharu,” katanya.
Selain sekolah bandar yang kekurangan kemudahan, tambah Yusof lagi, terdapat 587 sekolah luar bandar yang kini berdepan masalah kemudahan daif dan memerlukan pembaikian segera.
Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan Warisan berhasrat menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah dan sekolah daif dalam tempoh lima tahun lagi dan kini sedang berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk mengatasi masalah itu.
“Kami juga sudah dapat RM42 juta dana kecemasan untuk disalurkan ke sekolah yang sangat memerlukan untuk menambah baik sekolah dan kemudahan,” katanya. – 18 Mac, 2019.