13 suspek ditangkap di Sabah membimbangkan, kata Jeffrey Kitingan
Iklan
PENANGKAPAN 13 suspek pengganas di Sabah menandakan keselamatan negara kini semakin diancam, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata jumlah suspek yang ditahan dalam satu operasi itu membimbangkan.
Ini mencetus persoalan mengenai bagaimana suspek masuk sempadan Malaysia selepas Eastern Sabah Security Command (Esscom) ditubuhkan untuk membanteras jenayah rentas sempadan dan ancaman keselamatan, kata Jeffrey.
“Saya difahamkan mereka yang ditahan adalah sama ada anggota kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), Maute atau Royal Sulu Force (RSF),” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Jeffrey berkata kemunculan kumpulan-kumpulan pengganas di Sabah adalah serius dan kemungkinan satu lagi pencerobohan Tanduo boleh berlaku jika tidak ditangani dengan sebaiknya.
“Kita sudah pasti tidak ingin Tanduo kedua, yang mengancam keselamatan dan kedaulatan Sabah. Saya juga persoalkan mengapa begitu ramai suspek pengganas masuk ke negeri ini.
“Adakah kerana mereka dapat berita yang kerajaan negeri beri dokumen kepada mereka yang berketurunan Filipina?” katanya.
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal baru-baru ini berkata kerajaan negeri akan membantu kanka-kanak tanpa kerakyatan mendapatkan MyKad. Ini boleh menyebabkan pendatang asing datang ke Sabah, kata Jeffrey.
“Dengan cara itu, kita bukan sahaja tarik lebih ramai pendatang asing tanpa izin, tetapi juga penjenayah.
“Jadi, kita menyeru kerajaan Persekutuan membantah cadangan memberi dokumen kepada pendatang asing, bukan sahaja kepada kepada keturunan Filipina, tetapi yang lain juga.” – 18 Mac, 2019.