Iklan

Anggota bomba terhimpit antara 2 kenderaan ketika rusuhan, kata saksi 

Timothy Achariam6 years ago19th Mar 2019Berita
Adib inquest 201900319 tmiafif 01
Warga Pakistan, Budd Mohsin yang merupakan saksi ke-20 inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hadir di kompleks mahkamah Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Mac, 2019
Iklan

SEORANG saksi mendakwa beliau nampak anggota bomba terhimpit antara van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kereta semasa rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman November lalu.

Budd Mohsin berkata, beliau nampak seorang lelaki terhimpit di antara van dan kereta ketika van itu mengundur dari tempatnya.

Warga Pakistan berusia 24 tahun itu memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, dalam kejadian pada 28 November itu, beliau nampak seorang anggota bomba meninggalkan kenderaan kecemasan  sebelum masuk semula ke dalam kenderaan tu ketika perusuh menghampirinya.

Juruteknik penghawa dingin itu juga berkata seorang lagi lelaki turut keluar dari van EMRS pada masa yang sama.

“Terdapat seorang lagi lelaki berdiri antara dua kenderaan. Ketiga-tiga lelaki terbabit memakai seragam bomba. Apabila perusuh menghampiri, dua daripada mereka masuk semula ke dalam kenderaan, meninggalkan seorang lagi.

Beliau berkata, perusuh membaling objek ke arah kenderaan dan kereta itu mengundur ke arah van dan mangsa terhimpit di tengah-tengah.

Budd tidak memahami bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia dan hanya bercakap dalam bahasa Punjabi menerusi penterjemah.

Ia menyebabkan kekeliruan kerana beliau sendiri tidak jelas dengan keterangannya, yang menyebabkan mahkamah ditangguh selama lima minit agar saksi dapat mengesahkan keterangannya dengan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.

Apabila mahkamah bersambung, Budd menunjukkan semula apa yang beliau lihat menggunakan kereta mainan.

Katanya, ketika insiden itu berlaku, beliau berdiri kudang 10 meter bersama rakannya dikenali sebagai Hardeep, yang merakam video kejadian.

Hamdan kemudian menunjukkan kepadanya dua video insiden itu satu yang dirakam Hardeep dan satu lagi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Budd berada di kuil berkenaan pada malam anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim mengalami kecederaan yang membawa kepada kematiannya.

Beliau tidak pasti sama ada mangsa adalah Adib. Budd merupakan saksi ke 20 inkues kematian Adib.

Hamdan kemudian menunjukkan kemeja-t biru gelap yang tertera logo jabatan bomba dan bertanya kepadanya sama ada beliau melihat “Adib” memakai baju itu pada hari kejadian.

Budd berkata “ia nampak seperti itu” tapi tidak pasti dengan warnanya.

Hamdan dan penterjemah merujuk mangsa sebagai “Adib” walaupun saksi tidak mengesahkannya.

Koroner Rofiah Mansor menangguhkan mahkamah dan akan meneruskan menyoal saksi esok.

Kerajaan mengadakan inkues kematian Adib tahun ini selepas timbul dakwaan bercanggah berhubung punca kematian anggota bomba itu selepas muncul pada rusuhan di Seafield.

Adib, 24, merupakan antara anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan yang dihantar oleh balai bomba dan penyelamat Subang Jaya ke kuil berkenaan pada 27 November. Beliau dikatakan diserang di situ.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – 19 Mac, 2019

Iklan
Iklan