Iklan

Mahasiswa lapar tanggungjawab bersama kerajaan, swasta, kata Maszlee

Timothy Achariam6 years ago20th Mar 2019Berita
Maszlee malik um 180319 tmiseth 02
Menteri Pendidikan Maszlee Malik bercakap dengan wakil pelajar ketika mengadakan lawatan ke kafeteria Tengku Nazrin Shah di Universiti Malaya.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Mac, 2019
Iklan

MASALAH mahasiswa lapar bukan cerita baru namun boleh ditangani sepenuhnya jika pihak swasta bersama-sama dengan kerajaan menghulurkan bantuan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Saya fikir dalam soal kebajikan masyarakat, ia bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga tanggungjawab semua. Agensi kerajaan, sektor swasta dan badan masyarakat perlu bersama-sama.

“Apa yang saya tidak mahu berlaku ialah mahasiswa kita tidak berjaya dalam pengajian kerana keadaan ekonomi,” kata Maszlee kepada The Malaysian Insight.

BH Ahad melaporkan ada pelajar Universiti Malaya ikat perut makan sekali sehari, ada kalanya berpuasa dan hanya makan roti kerana masalah kewangan.

Universiti Malaya juga dilaporkan turut mengenal pasti kira-kira 1,000 mahasiswanya tergolong dalam kategori miskin tegar, iaitu datang dari keluarga dengan isi rumah berpendapatan bawah RM1,000 sebulan, mengikut takrifan universiti itu.

Maszlee berkata kebanyakan pelajar miskin itu datang dari kampung dan luar bandar dengan wang yang suntuk atau tanpa wang untuk belanja harian.

“Ini bukan masalah baru. Mereka perlukan bantuan. Waktu saya jadi pensyarah dulu pun, ada pelajar saya yang tidak ada duit untuk makan,” katanya, yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum menyertai politik, menang pilihan raya umum dan dilantik sebagai menteri.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna umum program Bank Makanan Malaysia akan diperluaskan ke kampus universiti awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2019.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan mahasiswa di Kolej Kediaman Dr Nazrin Shah, Universiti Malaya di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Maszlee turut menggesa persatuan mahasiswa dan pertubuhan alumni supaya lebih proaktif mengenal pasti pelajar miskin yang memerlukan bantuan.

Katanya, kerajaan juga sudah menggerakkan beberapa inisiatif untuk membantu mereka yang terlibat, termasuk melalui bantuan zakat.

“Setiap negeri ada institusi zakatnya sendiri dan Wilayah Persekutuan tentulah yang paling kaya, maka zakat itu boleh digunakan.”

Maszlee berkata idea “muhibah” wajar dihidupkan semula di kolej dengan pelajar, pensyarah dan kakitangan saling membantu tanpa mengira kaum dan agama.

“Perlu ada kesedaran supaya mahasiswa dan pensyarah saling membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan program Bank Makanan Malaysia akan diperluaskan ke kampus universiti awam.

Melalui program itu, kementerian jadi perantara untuk pasar raya mengagihkan lebihan makanan kepada rakan strategik kementerian untuk dimasak dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Kementerian Kewangan juga meluluskan peruntukan RM3 juta kepada KPDNHEP untuk menyediakan 14 unit lori lengkap dengan pendingin untuk program Bank Makanan Malaysia. – 20 Mac, 2019.

Iklan
Iklan