FRU perlu arahan polis untuk bertindak, kata saksi
Iklan
PASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) tidak bertindak meleraikan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield pada 27 November tahun lalu kerana mereka tidak mendapat perintah daripada pihak atasan untuk berbuat demikian.
Penolong Penguasa, Shuhaimi Yaakub memberitahu dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bahawa dia tidak dapat menghubungi Ketua Polis Daerah (OCPD) Subang Jaya untuk arahan selanjutnya malam itu.
Saksi ke-21 itu memberi keterangan mengapa unitnya tidak menjalankan tugas menghentikan orang-orang yang merusuh walaupun mereka dilihat sudah menghampiri dua kenderaan Jabatan Bomba.
Shuhaimi yang bertugas di unit FRU 1A di Cheras berkata, beliau mengikuti SOP berdasarkan manual Perintah Awam yang menyatakan FRU dipanggil untuk membantu polis daerah di kawasan itu.
Tambahnya, dia melihat kedua-dua kenderaan itu berundur dan sudah membincangkan perkara itu dengan ketua pasukan FRU lain sebelum cuba menghubungi ketua polis daerah untuk tindakan lanjut.
Mengesahkan dihadapan koroner Rofiah Mohamad di mahkamah koroner di Shah Alam, Shuhaimi berkata beliau bagaimanapun tidak dapat menghubungi ketua polis Subang Jaya untuk arahan selanjutnya.
“Kami tidak dapat menghubungi ketua polis pada masa itu apabila melihat trak terbakar dan perusuh menghampiri kami,” katanya.
Katanya, dia melihat kira-kira 5,000 orang berkumpul di luar kuil dan ramai yang menjerit tetapi dia tidak dapat memahami apa yang mereka katakan.
“Kita sepatutnya diberi taklimat atau menerima arahan tertentu sama ada untuk mengambil tindakan atau tetap bersiap sedia.
“Dan malam itu kami diperintah bersiap sedia, tanpa ada arahan lain ketika kami tiba di situ,” katanya.
Jumlah orang yang ramai menyebabkan anggota FRU sukar untuk mengawalnya, tambahnya.
“Kami tidak dapat mengendalikan orang yang terlalu ramai malam itu kerana kekurangan anggota.
“Beberapa pegawai sedang bercuti,” katanya sambil menambah bahawa satu kumpulan FRU boleh mengawal 1,000 orang.
Shuhaimi berkata, unit itu boleh menggunakan kekerasan sebagai pilihan terakhir seperti yang termaktub dalam Akta Polis 1967.
Syazlin Mansor, peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bertanya sama ada dia akan menunggu arahan sekiranya anggota diserang.
Dia menjawab tidak.
“Jika kami diserang dan mendatangkan bahaya kepada anggota, saya akan mengambil tindakan tetapi harus mengikut protokol dan memaklumkan kepada pihak atasan,” katanya.
Mahkamah koroner juga mendengar hujah saksi ke-22 yang merupakan pengurus firma keselamatan, Hardeep Singh, 29, mengatakan bahawa dia yang memfailkan insiden kumpulan perusuh merosakan trak bomba.
Kerajaan memanggil saksi selepas dakwaan bertentangan berhubung kematian Adib.
Anggota bomba berusia 24 tahun itu sebahagian daripada Anggota Penyelamat Perubatan Kecemasan yang bertugas malam itu.
Dia dikatakan telah diserang oleh kumpulan perusuh.
Adib meninggal dunia pada 17 Disember tahun lepas selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara.
Saksi perubatan mengatakan Adib meninggal dunia akibat kegagalan organ yang banyak.
Hari ini adalah hari ke-14 inkues dan akan diteruskan esok dengan keluarga Adib. – 20 Mac, 2019.