Saya hanya mahu keadilan untuk Adib, kata ayah
Iklan
AYAH Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu Mahkamah Koroner hari ini yang beliau hanya mahukan keadilan untuk anaknya.
Mohd Kasim Abdul Hamid, 63, meminta mahkamah mencari mereka yang bertanggungjawab mencetuskan rusuhan dan mengheret mereka ke muka pengadlilan.
“Saya mahukan keadilan dan kesaksamaan untuk kematian anak saya.
“Saya faham dia meninggal dalam rusuhan (di kuil Seafield), saya mahu pihak berkuasa bertindak terhadap perancang rusuhan itu,” katanya kepada Koroner Rofiah Mohamad.
Kasim, adalah saksi ke-23 dalam inkues kematian Adib, tenang menjawab soalan dan mengambil kesempatan berterima kasih kepada mahkamah kerana melaksanakan inkues dengan lancar.
Dalam keterangannya, Kasim berkata beliau mengesan bengkak dan lebam di kepala Adin ketika melawat anaknya di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) selepas tragedi itu.
“Keadaannya mula-mula buruk, dia tak sedarkan diri, lebam-lebam dan berada dalam keadaan kritikal.
“Saya boleh nampak kecederaan di dada, tangan, peha, jarinya dan rasa bengkak di beberapa tempat di kepalanya, dengan cedera di belakang cuping telinga,” katanya.
“Saya boleh rasa (bengkak dan cedera) kerana saya tak boleh nampak belakang kepalanya kerana dia terbaring dan tak sedarkan diri.”
Kasim turut memberitahu mahkamah yang sepanjang Adib dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), ada lima hari anaknya itu sedar dan kelihatan akan pulih. – 21 Mac, 2019.