Penduduk Sungai Petani ambil langkah pantau kilang sisa buangan haram
Iklan
KEBIMBANGAN penduduk mengenai pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Johor menyebabkan penduduk di Sungai Petani yang terletak kira-kira 400 kilometer dari Johor mengambil inisiatif memulakan pasukan rondaan sukarela bagi memantau kilang sisa haram yang semakin banyak di kawasan kejiranan mereka.
Mereka mendakwa, dalam masa dua tahun, lebih 10 kilang kitar semula haram dibina di kawasan mereka.
Kerana bimbang dengan kesihatan mereka akibat pencemaran udara dan asap yang terhasil dari kilang berkenaan, penduduk memulakan rondaan di kawasan berkenaaan pada waktu malam bagi mencari maklumat untuk disalurkan kepada pihak berkuasa.
Pengerusi jawatankuasa tindakan protem Sungai Petani, Huang Ang Chong memberitahu The Malaysian Insight, sebab mereka memulakan jawatankuasa berkenaan kerana kurangnya tindakan daripada pihak berkuasa.
“Apa yang kami lakukan adalah mengumpul maklumat dan salurkan kepada pihak berkuasa.
“Terdapat sekolah yang terletak kurang 500 meter dari kawasan perindustrian. Kami tidak mahu tragedi di Sungai Kim Kim berlaku di sini,” kata lelaki berusia 47 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
Insiden di Sungai Kim Kim menjejaskan kira-kira 4,000 keluarga di Pasir Gudang. Hampir 1,000 orang dimasukkan ke hospital manakala 12 orang dirawat di Unit Rawatan Rapi.
Putrajaya mengarahkan kesemua 111 buah sekolah di kawasan berkenaan ditutup, dan ia hanya akan dibuka semula selepas tamat cuti persekolahan minggu hadapan.
Huang berkata, masih banyak kilang dengan lambakan bahan buangan dapat dilihat dengan jelas di premis mereka.
“Mereka hanya beroperasi pada waktu malam dan itulah masanya kita membuat rondaan. Kami jalankan rondaan hampir setiap hari dalam kumpulan tiga hingga lima orang untuk memeriksa kilang.
“Kami boleh hidu bau busuk dan asap biasanya waktu tengah malam dan pukul 6 pagi ketika mereka beroperasi,” katanya.
Huang juga berkata, kawasan itu sebelum ini dipenuhi dengan kilang memproses balak, namun sejak dua tahun lalu, kilang kitar semula bahan buangan mula wujud.
Bekas ahli majlis Sungai Petani P Sritharan, 57, berkata pemeriksaan ketat perlu dijalankan oleh pihak berkuasa sebelum bencana seperti Sungai Kim Kim berulang.
“Ini bukanlah sesuatu yang baharu. Kami terima banyak aduan berhubung asap.
“Namun sejak tiga bulan lalu keadaan semakin teruk. Sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu ada prang yang terjejas akibat asap,” katanya.
Sritharan berkata, kerajaan negeri perlu menutup kilang itu sementara dan memeriksa sekiranya ia sah dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Terdapat laporan polis dibuat berhubung kilang haram. Kami harap mereka mengambil tindakan,” katanya.
Adun Bakar Arang Simon Ooi Tze Min berkata, hanya dua daripada 13 kilang kitar semula bahan buangan di kawasan itu memiliki permit kelulusan (AP) untuk mengimport plastik.
Katanya, Putrajaya menghentikan operasi dua buah kilang pada Julai 2018. Mereka mendapat AP sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Ooi berkata walaupun tindakan banyak kali diambil, kilang berkenaan tetap meneruskan operasi.
Sejak China mengharamkan import bahan buangan plastik pada 2017, Malaysia menjadi salah satu pengimport bahan buangan plastik terbesar dunia, menerima ratusan ribu tan sampah setiap tahun.
Pada Januari hingga Julai tahun lalu, Malaysia menerima 745,000 tan sisa buangan plastik, kebanyakannya dari UK, Jerman, Jepun dan Australia, menurut Greenpeace.
Kanak-kanak terjejas
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Tai Tong, Christine Lai berkata pihak sekolah telah membuat aduan mengeai pencemaran udara dan aktiviti pembakaran.
“Pembakaran sisa industri berlaku berhampiran sekolah tahun lalu dan sekali lagi tahun ini.
“Penduduk dan pihak sekolah sudah membuat aduan, kerana mereka nampak orang melakukan pembakaran di sana,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lai yang turut menyertai pasukan rondaan itu berkata, buat masa ini, bahan buangan dibakar lebih dekat dengan sekolah, hingga memaksa pihak sekolah menghentikan semua aktiviti luar.
“Pelajar di blok terdekat dipindahkan ke dewan, untuk mengelakkan mereka terjejas dengannya.
“Malah, terdapat beberapa pelajar yang tidak sihat dan sukar bernafas menyebabkan guru terpaksa menghantar mereka pulang,” katanya.
Lai berkata, mereka turut menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat beberapa kali namun walaupun kebakaran itu dipadamkan, asapnya masih terus mencemarkan udara sekitar.
“SW Corp turut menggali sehingga enam lori bahan buangan dari kawasan berkenaan.
“Kami mahu tahu dari mana datangnya bahan buangan itu dan mengapa perkara ini berlaku?
“Hanya mereka yang tidak bermoral akan lakukan perkara ini; jika tidak ia takkan berlaku berhampiran sekolah dan kawasan berpenduduk,” katanya. – 24 Mac, 2019