Penduduk Sungai Petani mula petisyen tutup kilang sisa buangan haram
Iklan
PENDUDUK Sungai Petani akan menghantar satu petisyen kepada kerajaan negeri Kedah, menuntut aktiviti kilang-kilang memproses sisa haram di kawasan itu dihentikan.
Petisyen dimulakan susulan insiden pencemaran sisa kimia beracun di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang menyebabkan kesihatan 4,000 penduduk dan murid sekolah terjejas akibat terhidu gas toksik awal bulan ini.
Vincent Heng, yang memulakan petisyen tersebut bersama penduduk lain, berkata pihak berkuasa perlu memandang serius kebimbangan yang disuarakan penduduk dan mengambil tindakan segera sebelum berlaku bencana sama.
“Kami faham mereka ada jalankan operasi di kilang-kilang haram ini, tetapi itu tak cukup.
“Banyak keluarga terjejas dengan pencemaran udara setiap hari di sini. Kami mahukan satu penyelesaian,” kata lelaki berusia 47 tahun itu.
Menurut Heng, mereka sudah berjaya mendapatkan lebih daripada 1,000 tandatangan sejak petisyen dimulakan Ahad lalu dan mensasarkan 5,000 tandatangan menjelang hujung minggu depan.
Petisyen itu akan diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan agensi-agensi berkaitan.
“Kami tak berhenti berkempen, pergi ke pasar pagi dan 20 kawasan berniaga.
“Kami perlu dapatkan sokongan sebanyak yang boleh supaya pihak berkuasa ambil perhatian,” katanya.
Penduduk di situ kata Heng, mahu tahu apakah status kilang sisa buangan haram di kawasan perindustrian Bakar Arang.
“Ada kawasan perumahan sejauh 500 meter dari kilang.
“Hari-hari mereka sedut asap dari kilang kitar semula sisa plastik,” katanya.
Heng berkata penduduk mahu tahu bagaimana sisa dibawa ke kilang dan bagaimana sisa ini dilupuskan.
Hampir 1,000 orang di Pasir Gudang dimasukkan ke hospital, manakala 12 lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat pencemaran Sungai Kim Kim.
Kerajaan juga mengarahkan semua 111 sekolah di kawasan itu ditutup sehingga cuti persekolahan yang berakhir minggu depan.
Seorang lagi penduduk, Leow Kok Jin, 37, berkata pembakaran sisa plastik dan getah sangat busuk.
“Hampir pukul 7.30 malam boleh nampak asap keluar, malam sikit nanti bau busuk pula.
“Mula-mula kita ingatkan ada benda terbakar dalam rumah, sebab bau macam plastik terbakar.
“Dalam dua ke tiga hari seminggu, dan kita ingat punca dari orang bakar sampah. Lama-kelamaan baru kita tahu bau datang dari kilang,” katanya. – 24 Mac, 2019.