Iklan

Sabah akan kaji syarikat GLC yang tidak berprestasi

Jason Santos6 years ago25th Mar 2019Berita
Shafie 20190325  full
Shafie Apdal berkata Yayasan Sabah, Sawit Kinabalu dan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah sedang dalam proses penyusunan semula selepas syarikat itu lari tersasar dari peranan asalnya. - Gambar The Malaysian Insight, 25 Mac, 2019.
Iklan

BEBERAPA syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah yang tidak berprestasi akan dikaji semula sama ada dikecilkan atau ditutup, kata Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal hari ini.

Beliau berkata, syarikat yang terjejas itu gagal membuat keuntungan selama tiga tahun berturut-turut atau dibebani kos operasi yang besar.

“Malah, terdapat tiga GLC sedang dalam proses penyusunan semula selepas distruktur dari peranan asalnya.

“Syarikat terlibat ialah Yayasan Sabah, Sawit Kinabalu dan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah,” katanya.

Shafie berkata, syarikat itu diberi tanah yang luas, peruntukan besar dan konsesi kayu oleh pentadbiran sebelum ini.

“Firma ini ditubuhkan untuk membangunkan kemudahan kesihatan dan pendidikan untuk rakyat Sabah yang miskin tetapi mereka gagal mencapai matlamat berkenaan.

“Saya mahu mereka kembali kepada peranan asal,” katanya selepas merasmikan forum Sabah bertajuk Pemerintahan Institusi dan Pembaharuan GLC hari ini.

Turut hadir pada majlis anjuran Institut Pembangunan Pengajian Sabah (IDS) ialah Pengerusi Eksekutif, Simon Sipaun dan Ketua Pegawai Eksekutif, Johan Ariffin.

Bagaimanapun Shafie berkata, penstrukturan semula firma ini tidak akan melibatkan pemberhentian pekerja.

Beliau mengambil contoh Jabatan Air Negeri yang menyerap lebih 1,300 pekerja dari enam pemegang konsensi yang kontraknya ditamatkan Januari lepas.

“Keputusan menamatkan kontrak mereka juga bertujuan menjimatkan kos kerajaan negeri,” katanya.

Di bawah pembaharuan itu, Shafie berkata, kerajaan yang dipimpin Warisan itu juga merancang menubuhkan badan baharu seperti Lembaga Pemasaran Sabah bagi membantu petani menjual produk mereka. – 25 Mac, 2019.


 

Iklan
Iklan