Iklan

Ahli PAC pembangkang letak jawatan

Timothy Achariam6 years ago25th Mar 2019Berita
Iklan

TIGA ahli pembangkang yang menjadi anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meletak jawatan serta merta susulan kontroversi jawatan pengerusi yang berlaku. 

Mereka ialah Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN), Ahmad Hamzah (Jasin-BN) dan Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PAS).

“Kami tidak lagi bersama PAC melainkan jika kerajaan melantik ahli pembangkang sebagai pengerusi PAC,” kata Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob kepada media di lobi parlimen hari ini.

PAC dipengerusi oleh Ronald Kiandee yang menyertai Bersatu pada bulan ini.

Beliau dilantik memegang jawatan itu ketika bersama Umno sebelum keluar menyertai Bersatu, sebuah komponen Pakatan Harapan Disember lalu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak ada keperluan untuk Kiandee melepaskan jawatannya di PAC.

Ismail Sabri berkata, mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi PAC bertentangan dengan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

“Ini lari dari janji mereka. Kami harap dengan transformasi Parlimen, mereka akan berpegang pada kata mereka untuk mempunyai ahli pembangkang sebagai pengerusi PAC.

“Kami memberi kuasa kepada kerajaan untuk menjalankan PAC,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka yang keluar daripada PAC belum lagi menyerahkan notis kepada jawatankuasa namun akan berbuat demikian tidak lama lagi. 

Takiyuddin yang turut berada dalam sidang media itu berkata, perdana menteri tidak perlu memilih pengerusi PAC kerana pembangkang sudah memberi nama calon mereka untuk jawatan itu.

“Pengerusi PAC perlu terdiri daripada pembangkang dan biar Umno memilih sendiri pengerusi,” katanya.

Ismail juga menambah, mereka memilih Noraini sebagai calon pengerusi.

“Sejak itu, tidak ada maklum balas daripada kerajaan sehingga semalam ketika Tun M berkata di dalam sidang akhbar bahawa tidak ada keperluan untuk menukar pengerusi,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mengekalkan Kiandee dibantah oleh penggubal undang-undang PH termasuk Nurul Izzah Anwar, Anwar Ibrahim dan Hannah Yeoh.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Speaker Nga Kor Ming hari ini yang pengerusi baharu PAC hanya akan dilantik selepas kes yang sedang dijalankan oleh penyandangnya Ronald Kiandee selesai, Ismail berkata ia tidak benar.

“Noraini adalah anggota PAC. Dia tahu apa yang berlaku dalam jawatankuasa itu. Itu sebab kami memilihnya.

Nurul Izzah minggul lalu melepaskan jawatannya di dalam PAC sebagai tanda protes terhadap keputusan Dr Mahathir mengekalkan Kiandee.  – 25 Mac, 2019.

Iklan
Iklan