Minta hak bukan bermaksud Sabah mahu keluar dari Malaysia, kata Shafie
Iklan
GESAAN Sabah supaya haknya dikembalikan bukan bermakna negeri itu mahu keluar dari Persekutuan Malaysia, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal hari ini.
Beliau berkata kebanyakan penduduk Sabah tidak gembira dengan terma-terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang gagal dipenuhi selepas 56 tahun.
Persekutuan akan menjadi lebih kuat jika terma-terma MA63 dipenuhi, katanya.
“Ini negara kita. Orang Sabah tak akan buat apa-apa untuk jauhkan diri dari Malaysia.
“Apa yang penting ialah menyentuh jiwa rakyat Malaysia.
“Bagi kita di Sabah, MA63 ini, kita mahu ia dipenuhi,” katanya pada Forum Sabah mengenai pentadbiran institusi dan pembaharuan GLC di Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata rakyat Malaysia perlu bekerja bersama dan saling memahami antara satu sama lain.
“Sudah lebih 30 tahun saya berbakti untuk negara. Dan sudah sampai masanya saya mahu kembali ke kampung saya (Sabah).
“Saya mahu jadikan Sabah sebahagian dari pada Malaysia. Itu niat saya.
“Saya sayangkan Malaysia, saya sayangkan isteri saya yag berasal dari Kedah, saya ada cucu dari Kelantan, Selangor dan Sarawak.
“Tetapi meminta sesuata yang menjadi hak kita bukan bermakna saya mahu keluar dari Malaysia,” kata Shafie. – 25 Mac, 2019.