Iklan

Jururawat pertikai testimoni inkues kematian Adib akan dipanggil polis

Timothy Achariam6 years ago26th Mar 2019Berita
Ummah rally tmi 02
Satu inkues dijalankan bagi menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan kuil November lepas selepas tiada kesimpulan konklusif terhadap siasatan punca sebenar kecederaan anggota bomba itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.
Iklan

POLIS akan merakam keterangan seorang jururawat yang mempertikaikan testimoni seorang pakar forensik dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Jururawat itu mencetuskan pertikaian pada minggu lalu apabila mengeluarkan komen dalam Facebook tentang peranannya merawat luka Adib ketika arwah dipindahkan dari Pusat Perubatan Subang Jaya ke Institut Jantung Negara (IJN).

Malah wanita itu mendakwa mengetahui kebenaran tentang kematian anggota bomba tersebut.

“Doktor, jika semua staf boleh memberi keterangan, saya akan menjadi yang pertama berbuat demikian dan berkata ia (kematian Adib) bukan satu kemalangan. Kecederaannya disebabkan oleh keganasan. Kami nampak luka itu, kami rawat dia… Kami nampak lebam di seluruh badannya dan banyak perkara yang saya tidak boleh beritahu di sini,” kata jururawat itu.

Wanita itu dipercayai membalas keterangan yang diberikan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam Hasmi pada inkues kematian Adib.

Dr Ahmad dalam keterangannya berkata kecederaan yang dialami Adib semasa kejadian rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu kelihatan seperti dilanggar sebuah kenderaan.

Satu sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa polis akan mengambil keterangan jururawat itu dalam tempoh terdekat dan timbalan pendakwa raya akan menentukan sama ada wanita itu perlu memberi bukti pada inkues tersebut.

Saksi ke 24 inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang merupakan pakar forensik dari HKL memberi testimoni bahawa kecederaan arwah mungkin akibat dilanggar sebuah kenderaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2019.

Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad menggesa wanita tersebut untuk tampil dan memberi kenyataan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun jururawat itu kemudiannya memadamkan hantarannya dalam Facebook dan tidak sedia bekerjasama dalam inkues tersebut.

Sementara itu peguam keluarga Adib, Kamaruzaman A Wahab memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak akan meminta jururawat itu memberi keterangan kerana dia tidak memiliki kepakaran dalam forensik untuk membantu inkues.

Kamaruzaman berkata pengetahuan jururawat itu tidak mendalam dan lengkap seperti seorang pakar forensik.

“Walaupun kita tidak bersetuju dengan testimoni (Dr Ahmad), tidak wajar juga bergantung kepada keterangan seorang jururawat (bagi membalas testimoni pakar).

“Walaupun kita berhasrat melawan (testimoni Dr Ahmad), kita lebih rela bergantung kepada pakar forensik lain,” kata peguam itu.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember di IJN akibat kegagalan fungsi organ ekoran kecederaan yang dialaminya pada insiden rusuhan tersebut.

Inkues kematiannya dijalankan memandangkan tiada kesimpulan konklusif terhadap siasatan punca sebenar kecederaan Adib pada malam kejadian 27 November itu.

Siasatan polis mendapati terdapat dua kemungkinan yang menjadi punca kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu iaitu sama ada dipukul perusuh atau dilanggar trak bomba.

Inkues itu akan bersambung hari ini dengan Dr Ahmad akan meneruskan testimoninya. – 26 Mac, 2019.

Iklan
Iklan