Bagaimana pula 2 hingga 4 sekeluarga berbelanja
Iklan
Dengan kos sara hidup jadi perhatian utama rata-rata rakyat Malaysia, The Malaysian Insight menjenguk beberapa keluarga di segenap pelosok negara bertanya bagaimanakah mereka berbelanja. Semalam kami menyemak isi rumah lima hingga tujuh beranak yang mempunyai pendapatan keseluruhan antara RM3,000 hingga RM4,000.
Isi rumah dengan pendapatan kurang RM3,900 ini tergolong 40% isi rumah terendah (B40). Hari ini kami memeriksa isi rumah dengan jumlah pendapatan yang sama tetapi lebih sedikit ahli keluarga untuk melihat cabaran yang dihadapi.
BERGANTUNG pada saiz isi rumah dan keadaan lain seperti adanya bantuan daripada saudara-mara atau memiliki kenderaan, isi rumah B40 hanya mampu bertahan dengan sedikit duit simpanan dan kecemasan selepas habis berbelanja keperluan bulanan.
Simpanan ini dalam lingkungan beberapa ratus ringgit saja atau lebih kurang RM2,000. Dalam banyak keadaan, kebanyakan isi rumah B40 membelanjakan hampir 80% pendapatan untuk perbelanjaan perlu, menurut laporan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) pada 2017.
Keluarga yang diwawancara ini mengatakan perbelanjaan mereka habis untuk perumahan, pinjaman kenderaan dan barangan runcit.
KEDAH
Penjual barang perhiasan pakaian Puan Lau dan suami membawa pulang kira-kira RM3,000 sebulan. Dia berniaga di sebuah gerai di sebuah pasar raya manakala suaminya berjual di pasar malam di sekitar Kulim.
Pasangan ini ada dua anak dan tinggal di Taman Selasih, Kulim. Pasangan ini tidak makan di rumah kerana perniagaan mereka memaksa mereka makan di luar. Untuk makan dalam sebulan, mereka membelanjakan lebih kurang RM500.
“Kami kerja sampai lewat malam. Kami jarang ada di rumah. Jadi kami tak masak. Kami juga selalu makan di rumah mertua saya.
“Kalau makan di luar, kami beli dari gerai nasi ekonomi. Taklah terlalu mahal,” kata wanita 37 tahun ini.
Antara barang mahal dalam belanja makanan mereka ialah susu tepung PediaSure untuk anak mereka yang berumur dua tahun setengah. Setin seberat 850gm harganya RM90.
“Anak saya masih kecil jadi tidak ada keperluan untuk tuisyen. Kami juga bernasib baik kerana neneknya menjaga mereka waktu saya bekerja. Tak ada belanja untuk pengasuh,” kata Lau yang juga menyimpan kad kredit untuk kecemasan.
Ditanya berapa banyak duit yang berbaki selepas ditolak semua belanja, Lau berkata: “Oleh kerana semuanya bergantung kepada hasil jualan, saya tidak tahu berapa banyak sebenarnya yang tinggal. Tetapi kami selalu pastikan akan ada duit yang tinggal. Mestilah, terpaksa, lagi-lagi sebab ada anak yang sedang membesar.
“Setakat ini, kami bernasib baik kerana masih dapat bertahan walaupun jualan tak berapa bagus. Semua orang yang berniaga kecil-kecilan merungut sejak harga minyak dan kos sara hidup naik.”
PULAU PINANG
Di Butterworth, jurujual perabot Mohd Sabri Othman, 34, pernah dapat sampai RM100,000 sebulan semasa dia bekerja di sebuah firma latihan di Kuala Lumpur. Hari ini dia yang menanggung keluarga seorang diri hanya membawa pulang RM3,000 sebulan.
“Apabila perniagaan bermasalah dan tutup, kami hilang pendapatan, jadi selepas dapat anak, kami balik ke Pulau Pinang.
“Isteri saya sekarang duduk di rumah jaga anak. Sekurang-kurangnya tak payah keluar duit untuk pengasuh.”
Keluarga itu membelanjakan RM500 sebulan untuk barangan runcit di pasar pagi dan pasar raya. Barangan yang dibeli lazimnya barangan ruji seperti beras, ayam, ikan, sayur, gula dan susu tepung. Barangan bukan makanan yang paling mahal mereka beli ialah lampin pakai buang sebanyak RM100 sebulan.
Katanya, bil api airnya tinggi kerana rumahnya kerap menggunakan pendingin hawa kerana anaknya ada ekzema.
Sabri juga mengambil kerja sementara tetapi tidak tetap.
“Kadang-kadang saya ambil kerja jadi runner, buat kerja yang orang suruh, untuk orang yang saya kenal. Ini bukan tetap.
“Saya pernah bawa Uber tapi di Pulau Pinang. Dengan harga minyak naik sekarang, tak dapat banyak mana pun. Pulau Pinang kecil, tak macam KL,” katanya.
Dia tidak lagi memiliki kad kredit. Dia juga tidak lagi bersuka-ria atau pergi bercuti hujung minggu yang sebelum ini biasa dilakukan semasa duduk di KL.
Pada hujung bulan, gaji Sabri tidak berbaki apa-apa tetapi rasa beruntung ada kakak yang sudi membantu sekiranya ada keperluan mendesak.
“Saya ada kakak yang boleh saya menumpang harap. Dia akan beri pinjam kalau ada kecemasan,” katanya.
PERAK
Amiruddin Mansur dari Bukit Jambul bekerja sebagai kerani di sebuah pusat pengajian tinggi. Isterinya juga kerani. Setiap bulan pasangan yang punya anak berusia 10 tahun ini membawa pulang gaji RM3,800.
Amiruddin menampung keperluan keluarganya, bekerja pada hujung minggu jadi penghantar di sebuah restoran makanan segera.
“Saya baru saja mula buat kerja ini. Saya pernah jual baju terpakai di Lorong Kulit tetapi pihak berkuasa kata saya tak ada permit jadi saya kena berhenti.
“Saya kerja hantar makanan segera pada Sabtu dan Ahad. Kerja lapan jam. Dapatlah lebih kurang RM300 sebulan,” kata bapa berumur 32 tahun ini.
Ikan, ayam dan daging memakan belanja yang besar daripada perbelanjaan makanan bulanannya. Keluarga itu sudah tidak lagi membeli susu tepung Anlene (lebih RM30 untuk sepaket 1kg) kerana ia terlalu mahal untuk mereka.
“Kami sudah bertukar kepada Dutch Lady. Ia lebih murah beberapa ringgit. Kalau ada promosi untuk Anlene, barulah kami beli,” katanya yang biasa berbelanja di pasar basah dan pasar raya.
Menjelang hujung bulan, Amiruddin tidak tinggal apa-apa lagi dan dia meminjam daripada saudara-mara kalau ada kecemasan. Dia tidak ada kad kredit.
“Kalau saya jumpa orang yang mahu membeli buku, peralatan sukan terpakai, saya jual. Saya dah buat dalam 10 kali, jual barang terpakai kepada kawan atau di Internet,” katanya.
SELANGOR
Polis bantuan, Saiful Roslan, bawa pulang gaji bersih kira-kira RM2,700 sebulan manakala isterinya yang berniaga nasi ayam di sebuah gerai dekat rumah mereka menokok dalam RM1,000 lebih kurang.
“Kadang-kadang dia dapat kurang daripada RM50 selepas tolak semua kos. Kalau hari baik, misalnya kalau hujan tak lebat, bolehlah dapat RM100. Biasanya dalam sebulan dapatlah lebih kurang RM1,000,” kata Saiful, 27, yang tinggal di Batang Kali.
Bagi pasangan yang belum menimang cahaya mata ini, perbelanjaan terbesar mereka untuk makanan, sewa dan pinjaman kereta. Saiful menggunakan motosikal untuk berulang alik kerja di Sungai Buloh.
Pasangan itu berbelanja barangan dapur di pasar raya seperti Tesco, NSK dan Econsave.
“Barangan paling mahal ialah ikan. Beras pun mahal sekarang,” kata Saiful, sambil menambah dia biasanya bersarapan berat di rumah dan tidak makan tengah hari di pejabat atau hanya makan roti kalau lapar.
Dia memastikan ada sekurang-kurangnya RM100 simpanan setiap bulan untuk waktu kecemasan.
SELANGOR
Hanizan Hussein tiga beranak bergantung pada gaji suaminya hampir RM4,000 sebulan.
“Hidup kami sederhana saja,” kata tukang cuci berumur 45 tahun itu. Mereka tidak ada kereta dan menumpang kenderaan saudara yang tinggal berdekatan.
Mereka membelanjakan lebih kurang RM400 sebulan untuk makanan, dan yang paling mahal ialah udang.
“Anak perempuan saya tidak makan ikan jadi kami beli udang dua kali seminggu,” kata Hanizan yang membeli barang dapur di kedai runcit dekat rumahnya setiap hari. Dia belanja tidak lebih RM15 sehari dan kosnya tidak sampai RM10 untuk makan malam mereka bertiga.
Mereka berbelanja mewah dua kali setahun iaitu semasa pesta buku apabila dia biasanya menghabiskan duit sehingga RM500.
“Saya suka membaca. Saya beli buku untuk diri saya sendiri dan untuk anak. Duit itu memang sudah diasingkan untuk pesta buku,” kata Hanizan. – 12 September, 2017.