Iklan

Ahli patalogi HKL enggan ulas dakwaan berbohong di inkues

Timothy Achariam6 years ago26th Mar 2019Berita
Muhammad adib mohd kassim seafield sri maha mariamman temple coroners court 07
Ahli patalogi Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang didakwa berbohong dalam inkues menentukan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim enggan mengulas tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. - Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Mac, 2019.
Iklan

AHLI patalogi Hospital Kuala Lumpur yang didakwa berbohong dalam inkues menentukan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim enggan mengulas tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Katanya, terserahlah kepada mahkamah koroner untuk menentukan kesahihan dakwaan itu dengan memanggil pihak yang membuat tuduhan tersebut memberikan keterangan dalam inkues.

“Saya tidak mahu jawab,” kata Dr Ahmad Hafizam Hasmi di mahkamah hari ini.

Ahli patalogi yang membuat bedah siasat ke atas jenazah Adib berkata demikian kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah yang memintanya menjawab tuduhan bohong itu.

“Kalau sesiapa ada maklumat yang saya tidak jumpa semasa pemeriksaan saya (ke atas mayat Adib), saya mohon agar koroner panggil mereka beri keterangan di inkues ini,” katanya kepada Koroner Rofiah Mohamad.

Jumaat lalu, dalam keterangannya Dr Hafizam berkata kecederaan yang dialami Adib semasa kejadian rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu kelihatan seperti dilanggar kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba.

“Saya dikritik dan dituduh berbohong dalam keterangan saya minggu lalu,” kata Dr Hafizam, hari ini.

Seorang pengguna Facebook atas nama Cik Amiera, yang mendakwa dirinya jururawat di Institut Jantung Negara mempertikaikan keterangan Dr Hafizam dalam inkues kematian Adib pada Jumaat lepas.

Jururawat itu mendakwa beliau adalah antara petugas yang mengendalikan Adib dan melihat kesan cedera pada badan anggota bomba itu yang dibayangkannya sebagai kesan akibat dipukul.

“Doktor, jika semua staf boleh memberi keterangan, saya akan menjadi yang pertama berbuat demikian dan berkata ia (kematian Adib) bukan satu kemalangan. Kecederaannya disebabkan oleh keganasan. Kami nampak luka itu, kami rawat dia… Kami nampak lebam di seluruh badannya dan banyak perkara yang saya tidak boleh beritahu di sini,” tulisnya.

Dr Hafizam berkata beliau tetap mempertahankan laporan pemeriksaan kliniknya serta laporan yang dibuat selepas bedah siasat, yang menunjukkan tiada kesan cedera pada muka Adib.
 
“Saya tidak jumpa kecederaan pada muka mangsa, sama ada semasa pemeriksaan klinik atau semasa bedah siasat.
 
“Apa saja kesan cedera yang ditemui semasa pemeriksaan klinik dan bedah siasat sudah direkodkan sewajarnya,” katanya.
 
Menurut Dr Hafizam, beliau memberikan keterangan di mahkamah berdasarkan pemeriksaan yang beliau lakukan dan berdasarkan kebarangkalian apa yang berlaku pada malam kejadian.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan polis akan merakam keterangan jururawat berkenaan dalam tempoh terdekat dan timbalan pendakwa raya akan menentukan sama ada wanita itu perlu memberi bukti pada inkues tersebut. 

Jururawat tersebut sudah memadamkan tulisannya itu dan menutup akaun Facebooknya selepas enggan tampil membantu inkues setelah diminta oleh Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad supaya bertanggungjawab atas kenyataannya.

Peguam keluarga Adib, Kamaruzaman A Wahab juga dilaporkan tidak akan meminta jururawat itu memberi keterangan kerana dia tidak memiliki kepakaran dalam forensik untuk membantu inkues.

Kamaruzaman dipetik berkata pengetahuan jururawat itu tidak mendalam dan lengkap seperti seorang pakar forensik.

Adib yang cedera semasa rusuhan malam kedua di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada awal pagi 27 November lalu dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya.

Beliau yang dilaporkan kritikal kemudian dipindahkan ke IJN pada malam berikutnya.

Allahyarham meninggal dunia pada 17 Disember selepas tiga minggu dirawat.

Inkues kematiannya dijalankan memandangkan tiada kesimpulan konklusif terhadap siasatan punca sebenar kecederaannya.

Siasatan polis mendapati terdapat dua kemungkinan punca kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu iaitu sama ada dipukul perusuh atau dilanggar kenderaan bomba.  – 26 Mac, 2019.

Iklan
Iklan