SPR akan banteras salah laku di PRK Rantau, kata sumber
Iklan
BUAT kali pertama, pondok panas di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau akan diteliti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas banyak aduan parti politik dan calon mengganggu dan cuba meraih undi pada saat-saat akhir pilihan raya yang dijalankan sebelum ini.
Keputusan berkenaan dibuat setelah perbincangan dalam mesyuarat tertutup SPR baru-baru ini bagi membanteras amalan sedemikian yang bertentangan dengan peraturan pilihan raya.
Sumber dalaman SPR memberitahu The Malaysian Insight pondok yang dikenali sebagai “pondok panas” dan “barong”, kini akan dipantau dengan teliti oleh pegawai SPR pada hari mengundi.
Sumber itu berkata, parti politik biasanya menggunakan pondok panas untuk membantu pengundi mengesahkan pendaftaran dan maklumat stesen pengundian mereka.
“Tetapi kini ia digunakan untuk meraih undi pada hari mengundi. Pemantau pilihan raya juga melaporkan bahawa beberapa pondok ini digunakan bagi mengenal pasti para pengundi.”
Seksyen 26 (1)(e) melarang mengenal pasti atau memujuk pengundi dalam jarak 50 meter dari stesen mengundi manakala Seksyen 26 (1)(f) menghalang aktiviti meraih undi pada hari pengundian.
Mereka yang melanggar Seksyen 26 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya.
Sumber berkata tujuan pondok panas yang didirikan parti politik untuk membantu para pengundi tidak perlu dibenarkan kerana terdapat pekerja SPR yang cukup semasa hari pengundian.
“Selain itu, SPR juga menghantar kad pengundi kepada pengundi bagi memaklumkan kepada mereka tentang lokasi stesen mengundi.
“Pondok-pondok ini memang tak perlu didirikan dan ia juga akan mewujudkan suasana menakutkan bagi pengundi,” tambah sumber itu lagi.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang calon PRK Rantau akan diberi “Surat Akujanji” pada hari penamaan calon untuk ditandatangan, di mana ia amaran kepada mereka untuk tidak mendirikan pondok pada hari mengundi.
“Surat juga akan dihantar kepada semua parti yang bertanding dan calon bebas mengenai perkara ini.”
Satu lagi sumber mengatakan kepada The Malaysian Insight bahawa SPR memberi perhatian dengan jumlah salah laku semasa pilihan raya kecil baru-baru ini.
Beliau berkata jumlah salah laku yang tinggi akan mencemarkan imej proses pilihan raya di Malaysia dan ia merupakan satu penghinaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (EOA).
Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 merekodkan 23 dan 35 kesalahan masing-masing dilakukan sewaktu PRK Cameron Highlands dan Semenyih.
Antara kesalahan yang disebut adalah mengucapkan ucapan hasutan kaum dan agama, penyalahgunaan aset kerajaan, rasuah, dan berkempen pada hari pengundian.
Kebanyakan kesalahan yang direkod berlaku pada hari mengundi, kata organisasi pemerhati pilihan raya tersebut.
Oleh kerana SPR tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, ia perlu mengemukakan laporan kepada polis dan menyerahkan tindakan penguatkuasaan kepada pihak keselamatan bagi tindakan selanjutnya terhadap pesalah. – 27 Mac, 2019.