Iklan

Jururawat Cik Miera minta maaf di inkues Adib

Timothy Achariam6 years ago27th Mar 2019Berita
Inquest adib kassim 20190327 hasnoor 001
Jururawat Siti Syafika Amira, 27, yang menggunakan nama Cik Miera di Facebook, dipanggil sebagai saksi inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim yang ke-25 pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2019.
Iklan

MAHKAMAH Koroner memanggil jururawat di Institut Jantung Negara yang mengkritik keterangan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dalam inkues menentukan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Siti Syafika Amira, 27, yang menggunakan nama Cik Miera di Facebook, dipanggil sebagai saksi inkues yang ke-25 pagi ini.

Beliau dipanggil selepas kenyataannya di Facebook Jumaat lalu mempertikaikan keterangan Dr Ahmad Hafizam Hasmi bahawa kecederaan yang dialami Adib sehingga menyebabkan kematiannya bukan berpunca akibat pukul.

Dalam keterangannya, Siti Syafika Amira memberitahu mahkamah beliau tidak tahu fakta kes semasa menaikkan komen di Facebook, yang dibuatnya ketika beremosi.

Saya minta maaf. Saya beremosi dan tidak tahu fakta sebenar kes sebelum buat komen itu,” katanya kepada koroner.

Jururawat bilik bedah IJN itu sebelum ini mendakwa beliau antara petugas yang mengendalikan Adib dan melihat kesan cedera pada badan anggota bomba itu, yang dibayangkannya sebagai kesan akibat dipukul.

“Doktor, jika semua staf boleh memberi keterangan, saya akan menjadi yang pertama berbuat demikian dan berkata ia (kematian Adib) bukan satu kemalangan. Kecederaannya disebabkan oleh keganasan. Kami nampak luka itu, kami rawat dia… Kami nampak lebam di seluruh badannya dan banyak perkara yang saya tidak boleh beritahu di sini,” tulisnya di Facebook, yang kini sudah dipadamkan.

Beliau turut menjawab soalan Pegawai Penyelaras Inkues DPP Zhafran Rahim Hamzah sekiranya catatan itu ditujukan kepada orang tertentu.

“Ia tidak ditujukan kepada sesiapa, saya hanya emosional,” katanya.

Syafika yang merupakan jururawat bilik pembedahan dan hanya merawat Adib sebanyak tiga kali untuk memasang mesin ECMO berkata beliau melihat kecederaan di muka, dada, peha dan kelangkang Adib.

Tambahnya, beliau percaya Adib dipukul dalam rusuhan itu selepas bercakap dengan pembantu pembedahan Muhammad Ashraff Baruji, 27, yang memberitahunya Adib memberi petunjuk yang beliau dipukul.

“Tidak lama selepas itu, Ashraff beritahu saya dia (Adib) geleng kepala bila Adib ditanya adakah dia dipukul,” tambahnya.

“Saya percaya dia (Adib) dipukul dan saya percaya Ashraff bila dia kata Adib mengaku padanya yang dia dipukul,” katanya merujuk kepada Ashraff yang juga saksi inkues.

Tambahnya, pihak pengurusan hospital memintanya memberi keterangan untuk membuat penjelasan dan tidak mengambil tindakan displin kepadanya.

Katanya, beliau beremosi kerana melihat keluarga Adib, terutama tunangnya yang terpaksa melalui masa getir itu.

“Ketika mayat berada di sana (IJN), saya nampak keadaan keluarganya yang menangis, keadaan tunangnya, anggota bomba lain yang datang melawat dan tidur di kerusi luar ICU setiap hari.”

Semalam, Dr Hafizam memberitahu Koroner Rofiah Mohamad, beliau dituduh berbohong dalam keterangannya Jumaat lalu oleh seorang yang menggunakan akaun Cik Miera di Facebook, yang mendakwa jururawat di IJN yang mengendalikan Adib.

“Kalau sesiapa ada maklumat yang saya tidak jumpa semasa pemeriksaan saya (ke atas mayat Adib), saya mohon agar koroner panggil mereka beri keterangan di inkues ini,” katanya Dr Hafizam kepada mahkamah semalam.

Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia pada 17 Disember, selepas tiga minggu dirawat akibat kecederaan dialaminya ketika bertugas dalam mengawal rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 27 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2019.

Adib yang cedera semasa rusuhan malam kedua di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada awal pagi 27 November lalu dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya sebelum dipindahkan ke IJN pada malam berikutnya.

Jumaat lalu, dalam keterangannya Dr Hafizam berkata kecederaan yang dialami Adib semasa kejadian rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu kelihatan seperti dilanggar kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba.

Dr Hafizam berkata beliau tetap mempertahankan laporan pemeriksaan kliniknya serta laporan yang dibuat selepas bedah siasat, yang menunjukkan tiada kesan cedera pada muka Adib.

“Saya tidak jumpa kecederaan pada muka mangsa, sama ada semasa pemeriksaan klinik atau semasa bedah siasat.

“Apa saja kesan cedera yang ditemui semasa pemeriksaan klinik dan bedah siasat sudah direkodkan sewajarnya,” katanya.

Dr Hafizam berkata beliau memberikan keterangan di mahkamah berdasarkan pemeriksaan yang beliau lakukan dan berdasarkan kebarangkalian apa yang berlaku pada malam kejadian.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember, selepas tiga minggu dirawat.

Inkues kematiannya dijalankan memandangkan tiada kesimpulan konklusif terhadap siasatan punca sebenar kecederaannya. Siasatan polis mendapati terdapat dua kemungkinan punca kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu iaitu sama ada dipukul perusuh atau dilanggar kenderaan bomba. – 27 Mac, 2019.

Iklan
Iklan