Bukan kepakaran jururawat buat kesimpulan keadaan Adib, kata pakar IJN
Iklan
BUKANLAH kepakaran jururawat untuk mengeluarkan kenyataan yang kecederaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim adalah kerana dipukul, kata seorang doktor IJN.
Pengarah Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara Dr Suneta Sulaiman berkata demikian ketika bercakap tentang seorang jururawat bilik pembedahan yang menuduh pakar patalogi Hospital Kuala Lumpur memberikan keterangan palsu dalam inkues kematian Adib hari ini.
Menurut Dr Suneta, jururawat berkenaan tidak ada kepakaran untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu.
“Saya fikir sebagai seorang jururawat dan jururawat OT (bilik bedah), bukanlah kepakarannya untuk membuat kenyataan sama ada kecederaan Adib kerana kemalangan atau tidak,” katanya kepada Mahkamah Koroner pada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.
Jururawat berkenaan, Siti Syafika Amira binti Mohd Rasani atau “Cik Miera” menerusi catatan di Facebook mendakwa beliau “tahu kebenaran” mengenai kematian Adib.
Bagaimanapun, hari ini, Syafika menarik balik kenyataan dan memohon maaf, berkata kenyatan itu dibuat dalam keadaan beremosi dan beliau juga “tidak tahu fakta kes (Adib).”
Suneta memberitahu Koroner Rofiah Mohamad yang jurujawat yang kurang pengalaman seperti Syafika akan terkejut melihat pesakit dalam keadaan sebegitu.
“Untuk seseorang yang kurang pengalaman (seperti Syafika), melihat pesakit seperti Adib pastnya mengejutkan kerana bengkak dialaminya ketika sampai di IJN. Beliau bengkak di kepala, leher, hingga ke dada dan kelangkangnya. Bengkaknya teruk,” katanya.
Katanya, malah beliau yang lebih berpengalaman sebagai doktor ICU tidak ada kepakaran untuk membuat kesimpulan sama ada Adib dipukul atau tidak.
“Malah untuk seorang pakar intensif seperti saya, bukanlah tempat saya untuk menyimpulkan sama ada ia berlaku kerana keganasan atau tidak,” kata Suneta yang pernah memberi keterangan sebelum ini kepada mahkamah.
Syafika hari ini dalam keterangannya berkata beliau melihat Adib pertama kali pada 28 November tahun lepas, ketika anggota bomba itu dimasukkan ke IJN.
Syafika yang merupakan jururawat bilik pembedahan dan hanya merawat Adib sebanyak tiga kali untuk memasang mesin ECMO berkata beliau melihat kecederaan di muka, dada, peha dan kelangkang Adib.
Inkues itu diadakan bagi mencari punca sebenar kecederaan Adib yang menyebabkan kematiannya selepas siasatan polis tidak dapat menemui kesimpulan memuaskan.
Adib adalah anggota pasukan kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dihantar ke lokasi kuil pada 27 November 2018 selepas beberapa kereta dibakar dalam rusuhan. Beliau meninggal dunia kerana kecederaan dialami pada 17 Disember di IJN. – 27 Mac, 2019.