Ahli Parlimen Sandakan meninggal dunia
Iklan
AHLI Parlimen Sandakan Stephen Wong, 64, dilaporkan meninggal dunia hari ini akibat serangan jantung.
Wong merupakan pengerusi DAP Sabah dan menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Difahamkan beliau rebah kira-kira pukul 5 pagi tadi ketika berjalan di Tambaig Adventure Hill Park di Putatan, dekat Kota Kinabalu.
Ketika kejadian beliau bersama bekas Ahli Parlimen Putatan Marcus Mojigoh.
Marcus berkata, Wong pada awalnya kelihatan baik pagi ini apabila singgah di rumahnya sebelum ke kawasan riadah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menyifatkan Wong sebagai seorang ahli Parlimen yang kuat bekerja yang menumpukan masanya untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Sabah kehilangan seorang rakan, pemimpin yang mengambil berat tentang rakyatnya. Beliau banyak menyumbang kepada penubuhan kerajaan negeri Sabah dan sangat memberi kerjasama kepada kami, walaupun sebelum menubuhkan kerajaan negeri bersama-sama,” kata Shafie merujuk kepada sokongan DAP terhadap kerajaan negeri yang diterajui Warisan.
“Beliau akan dirindui dan kerajaan mengucapkan takziah buat keluarga Wong.
Berhubung pilihan raya kecil, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenainya.
Proses lanjut akan menyusul, tambahnya.
Shafie berkata, beliau dimaklumkan berhubung kematian Wong pagi ini.
Wong mengalami sakit dada ketika menjalankan aktiviti trekking dan dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya.
“Di hospital, beliau mengalami serangan jantung. Saya tidak pasti keadaan kesihatan Wong sebelum ini, namun saya dimaklumkan oleh pakar yang merawatnya bahawa beliau mengalami masalah jantung.
“Beliau disahkan meninggal dunia di hospital,” kata Shafie.
Di Parlimen hari ini, Dewan Rakyat bertafakur selama 10 minit bagi menghormati pemergian Wong.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Parlimen kepada keluarga Wong.
Wong yang lahir di Sandakan dan bertanding pada pilihan raya dan mempertahankan kerusi itu sejak 2013.
Sebelum beliau aktif dalam DAP Sabah, Wong mrupakan ahli majlis Sandakan dan setiausaha agung Dewan Perdagangan Sandakan.
Pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu, beliau menewaskan calon Barisan Nasional dengan majoriti 10,098 undi. – 28 Mac, 2019