Iklan

Biar RCI putuskan kredibiliti laporan Suhakam mengenai Wang Kelian, kata Muhyiddin

Bernard Saw6 years ago28th Mar 2019Berita
wang kelian camp
Pada 2015, pihak berkuasa mendapati kubur besar dan beberapa khemah transit di Wang Kelian, Perlis, dikaitkan dengan aktiviti pemerdagangan manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2019.
Iklan

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian akan menentukan kredibiliti dan kesahihan laporan baru-baru ini oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mendakwa terdapat niat untuk memusnahkan bukti berhubung siasatan asal kejadian itu.

Pada 2015, pihak berkuasa mendapati kubur besar dan beberapa khemah transit di Wang Kelian, Perlis, dikaitkan dengan aktiviti pemerdagangan manusia.

Hampir 150 kubur dengan 130 rangka manusia dijumpai, yang menyebabkan penangkapan 44 warga asing.

Beberapa mangsa didapati berasal daripada komuniti etnik Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Semalam, Suhakam bersama-sama Fortify Rights mengeluarkan laporan siasatan berhubung insiden Wang Kelian, yang mencadangkan individu terselamat di negara ini berhak mendapat perlindungan di bawah undang-undang Malaysia sebagai mangsa penyeludupan manusia, dan bagi isu Rohingya, sebagai pelarian.

Laporan itu mencadangkan tindakan terhadap kakitangan penguatkuasa jika ada bukti yang menunjukkan penangguhan siasatan kes Wang Kelian adalah disengajakan bagi memusnahkan bukti.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengakui siasatan dijalankan Suhakam mempunyai “maklumat dan asas” yang boleh dipercayai, tetapi menggesa rakyat menunggu RCI melengkapkan siasatannya.

“Ada asas dan kriteria tertentu yang mereka akan gunakan bagi menentukan maklumat itu sahih, ada asas kukuh dan sebagainya,” katanya.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata RCI yang dibentuk pada 5 Mac harus mempertimbangkan pembaharuan institusi atau undang-undang yang diperlukan untuk menangani kekurangan yang mungkin menyumbang kepada insiden Wang Kelian.

Panel tujuh anggota RCI diketuai oleh bekas ketua hakim Arifin Zakaria yang ditugaskan untuk meneliti penemuan kubur besar itu. Suruhanjaya akan menyerahkan laporan penemuannya kepada Yang di-Pertuan Agong. – 28 Mac, 2019.

Iklan
Iklan