Iklan

Mengajar di sekolah daif di Sabah ‘mimpi ngeri’ buat guru

Jason Santos6 years ago29th Mar 2019Berita
Sabah school003 copy
Guru yang ditugaskan mengajar di sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak terpaksa berdepan pelbagai masalah infrastruktur asas hingga menjejaskan pencapaian pengajaran mereka dan minat murid. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 Mac, 2019.
Iklan

RAMAI ahli politik dan menteri bercakap tentang keadaan sekolah di Sabah yang teruk, tetapi hanya guru terbabit yang tahu bahawa mengajar dalam keadaan uzur sebegitu adalah “mimpi ngeri”.

Bimbang dikenakan tindakan atau menjadi sasaran kerana membuat aduan, sesetengah guru bercakap pada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan, menjelaskan tentang bagaimana keadaan persekitaran menjejaskan kerja dan menjatuhkan moral mereka.

Seorang guru berusia 40 tahun bertugas di sekolah rendah di Sipitang, berhampiran sempadan Lawas, Sarawak berkata sekolahnya tidak ada bekalan air terawat dan terpaksa menapis air hujan untuk memasak di kantin sekolah. Air hujan juga digunakan sebagai bekalan air di kuarters guru dan tandas murid.

Sekolah itu juga tidak ada padang dan murid terpaksa berjalan jauh untuk menggunakan padang di kampung berhampiran bagi kelas pendidikan jasmani.

“Ketiadaan padang sekolah atau dewan juga menyukarkan perhimpunan diadakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ini antara kemudahan asas yang tiada. Guru itu berkata sekolah juga tidak mempunyai makmal sains, perpustakaan atau pun tempat letak kenderaan.

Guru terpaksa menguruskan pelupusan sampah kerana sekolah itu terlalu jauh dari kawasan yang membolehkan pihak berkuasa tempatan menghantar pengutip sampah secara kerap.

“Kami terpaksa gotong-royong untuk membuang sampah ke kawasan pembuangan sampah di kampung berhampiran atau kami bakar sendiri sampah,” katanya.

Guru itu yang berasal dari Penampang berkata tempoh untuk menyelesaikan masalah seperti itu atau kekurangan kemudahan terlalu lama hingga menjejaskan pencapaian dalam menyampaikan pengajaran.

“Kami guru macam robot dan terpaksa ikut saja keadaan. Kami simpan saja semua aduan sendiri kerana takut dihukum pihak atasan.”

Tidak seronok dalam pembelajaran

Isu kekurangan dana dan sekolah daif di Sabah dan Sarawak, di mana kebanyakan sekolah di kawasan pedalaman, sudah sekian lama berlaku. Dua negeri itu turut membuat aduan pada Putrajaya, yang mengawal Kementerian Pendidikan, di mana peruntukan yang diberikan untuk kerja penambahbaikan tidak mencukupi.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, bagaimanapun bercakap tentangnya di Dewan Rakyat pada 27 Mac lalu ketika memberikan perkembangan terkini tentang kerja peningkatan yang dibuat di sekolah-sekolah di dua negeri Borneo itu.

Selepas 26 tahun, SK Petagas di Sabah baru-baru ini dinaik taraf dengan infrastruktur baharu untuk bangunan sekolahnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 Mac, 2019.

Katanya, setakat ini, kerja sedang dijalankan di 198 sekolah usang di Sarawak dengan peruntukan RM557 juta. Katanya, pada 2017, 26 sekolah di Sarawak siap dinaik taraf dan pada 2018, sebanyak 66 sekolah dibaik pulih.

Di Sabah, kerja penambahbaikan sedang dijalankan di 153 sekolah dengan peruntukan RM5521.1 juta.

Bagi Sabah, 153 sekolah adalah antara lebih 500 sekolah yang dalam keadaan daif di negeri itu. Jumlah itu separuh daripada hampir 1,300 sekolah di negeri itu yang dalam keadaan sangat perlu dibaiki.

Guru yang ditemui The Malaysian Insight berkata aduan mereka tentang masalah itu kepada Jabatan Pendidikan sering dibalas dengan tidak cukup dana dari Putrajaya. Guru berkenaan juga dimarahi kerana kononnya buat masalah, apabila mengemukakan aduan.

Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Tongod, bahagian tengah Sabah berkata sekolahnya yang jauh di pedalaman membawa banyak cabaran.

Bukan saja ia kekurangan kemudahan asas, tetapi liputan telekomunikasi yang teruk, menjadikan projek 1BestariNet tidak relevan.

Pendekatan pembelajaran secara atas talian yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2013 bertujuan mencipta persekitaran pembelajaran secara maya dengan menghubungkan ribuan sekolah kerajaan di seluruh negara kepada Internet menggunakan Yes 4G daripada YTL Communications Sdn Bhd.

“Kurangnya sambungan Internet menyebabkan kami jauh ketinggalan dalam pembelajaran. Guru akhirnya menggunakan jalur lebar mereka sendiri dan bergantung hanya pada satu jaringan untuk meneruskan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata akibatnya ialah komputer di sekolah dan peralatan LCD serta bilik komputer jadi tidak berguna. – 29 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan