Iklan

Pemimpin, rakyat belah bahagi sambut Najib di Kelantan

Diyana IbrahimHasnoor Hussain6 years ago30th Mar 2019Berita
Najib razak kelantan 20190329 hasnoor 025
Bekas perdana menteri Najib Razak bersalaman dengan penyokongnya ketika hadir merasmikan perlawanan tinju siam di Ekspo Pantai Irama, Bachok, Kelantan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mac, 2019
Iklan

LAWATAN Najib Razak ke Kelantan semalam disambut berbelah bahagi oleh pemimpin politik akar umbi, aktivis parti dan pengundi, empat hari sebelum bekas perdana menteri itu dibicarakan di mahkamah minggu depan.

Najib akan mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rabu ini atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika ada yang positif dengan kedatangan Najib, ada juga yang curiga apakah lawatan itu mahu menguji sokongan rakyat terutamanya dalam kalangan Melayu ketika perbicaraan kesnya akan bermula.

“Lawatan ini nampak macam hendak tengok sokongan rakyat,” kata Ketua Cawangan PAS Kampung Chempaka di Kota Bharu, Kelantan, Rosli Yusof.

Rosli, 50, juga berkata sekiranya lawatan Najib itu strategi membantu menguatkan kerjasama Umno dan PAS di peringkat akar umbi, ia mungkin bukan langkah yang baik.

“Najib banyak isu pasal kes rasuahnya…  isterinya lagi,” katanya, merujuk kepada Rosmah Mansor, yang juga berdepan 17 tuduhan kes pengubahan wang haram serta dua tuduhan berasingan kes rasuah.

“Imej Najib sudah tercalar. Kalau nak bekerjasama Umno dengan PAS eloknya tidak ada Najib,” tambah Rosli, merujuk perkembangan terbaru dua parti Melayu itu sejak pilihan raya umum yang lalu.

Bekas perdana menteri Najib Razak memakaikan sarung tinju kepada peserta tinju siam ketika hadir menyaksikan perlawanan yang diadakan di Bachok, Kelantan.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mac, 2019

Semalam, Najib bertemu dengan pemimpin Umno Kelantan, pemimpin masyarakat dan rakyat, termasuk nelayan di Bachok. Pada sebelah malam, beliau menyertai ribuan rakyat di Ekspo Pantai Irama Bachok dan merasmikan pertandingan tinju siam.

Pagi ini, beliau dijadual bersarapan dengan rakyat sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Beberapa penduduk Kelantan yang ditemui pada majlis Najib semalam mengaku teruja dapat bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

Firdaus Ahmad, 25, malah berkata, beliau rindu dengan pentadbiran Najib yang disifatkannya pemurah dan sangat menjaga kebajikan rakyat berbanding kerajaan Pakatan Harapan.

“Eloklah Najib datang jumpa dengan rakyat dan memahami kesukaran hidup kami,” katanya.

“Najib ada hak untuk pergi mana pun walaupun ada kes mahkamah sebab belum terbukti lagi beliau bersalah,” tambahnya.

Rosmah Hamid, 46, pula berharap Najib boleh kembali memimpin sebagai perdana menteri, juga dengan alasan yang sama.

“Najib masa jadi perdana menteri dia jaga rakyat, kita dapat BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), tak macam sekarang… memang hidup susah. Nak minta apa pun tak dapat. Elaun nelayan dikurangkan. Memang kehidupan rakyat lagi susah banding masa zaman BN,” katanya.

Salah seorang peserta pertandingan tinju siam memakai kemeja-t

Putrajaya menggantikan BR1M menjadi Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan beberapa perubahan syarat yang mengurangkan bantuan atau mengecualikan penerimanya.

“Memanglah orang kata beliau terlibat dengan kes 1MDB tapi kita janganlah terus menghukum,” tambah Rosmah.

Bagaimanapun bagi Othman Ali, 44, sambutan hangat rakyat kepada Najib sekarang tidak dilihat sokongan kepada beliau.

“Rakyat kalau datang sebab ada pemimpin tidak semestinya bermakna mereka sokong. Iyalah, kalau ada peluang jumpa dengan bekas perdana menteri, mestilah orang hendak jumpa,” katanya.

Dalam pada itu, Yuni Zulkifli, 28, yang ditemui selepas satu program Najib bersama rakyat semalam berkata, bekas perdana menteri itu perlu membersihkan namanya di mahkamah.

“Kalau Najib bersalah, beliau patut dihukum. Kalau tidak bersalah, beliau patut bersihkan namanya,” katanya, yang mengaku kebetulan berada di lokasi majlis di Bachok.

Kelantan adalah negeri kedua yang dikunjungi oleh Najib selepas Terengganu hujung minggu lalu, ketika Umno dan PAS berunding memeterai kerjasama politik secara formal. Kedua-dua negeri ditadbir oleh PAS.

Aktivis PAS Mohamad Anuar Mohamad Nor, 45, bagaimanapun mengaku agak skeptikal dengan kerjasama Umno dan PAS itu.

“Saya tanya kepada pemimpin sebelum ini, apa jaminan penyokong PAS tidak akan dianaktirikan jika Umno dan PAS menang dalam pilihan raya umum akan datang, mereka tak dapat jawab,” katanya.

Bekas perdana menteri Najib Razak bersalaman dengan pengunjung di Ekspo Pantai Irama di Bachok, Kelantan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2019

Ditanya dari mana datang rasa curiga itu, Anuar berkata, kerajaan Barisan Nasional sebelum ini pernah bertindak menukar guru sekolah yang tidak menyokong kerajaan pusat.

“Ini sahih, memang guru- guru ini yang menyokong PAS dipanggil, minta untuk jadi penceramah BN. Semasa pilihan raya umum tahun lalu, ada juga usaha untuk tukar guru-guru terlibat tetapi sebab Pakatan Harapan menang, lalu tak jadi tukar.

“Sebab itu saya berkali- kali tanya pemimpin, apa jaminan untuk PAS sebab kita dah terkena banyak kali,” katanya.

Bagaimanapun Anuar berkata beliau akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan jika kerjasama itu tetap diteruskan.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadli Shaari bagaimanapun merumuskan lawatan Najib semalam baginya adalah satu “lawatan persaudaraan” ketika Umno dan parti Islam itu menjalin kerjasama lebih rasmi.

“Penyokong PAS di Kelantan tidak ada masalah dengan Najib. Lawatan ini akan kuatkan Umno dan PAS di akar umbi sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Insya-Allah, Umno tidak bertembung lagi dengan PAS,” katanya.

PAS mentadbir Kelantan sejak 1990 dan berjaya mempertahankan negeri itu dalam setiap pilihan raya umum, walaupun hanya sekali menguasai negeri dengan majoriti tipis satu kerusi pada 2004. – 30 Mac, 2019.

Iklan
Iklan