Iklan

Pertembungan 4 penjuru di PRK Rantau 

Timothy Achariam6 years ago30th Mar 2019Berita
Rantau 300319 tmiseth 11
Calon pilihan raya kecil Rantau (dari kiri) Mohamad Hasan dari Barisan Nasional, Dr S. Streram Pakatan Harapan dan calon bebas Mohd Nor Yassin dan Malar Rajaram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Mac, 2019.
Iklan

PILIHAN raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan calon Barisan Nasional Mohamad Hasan dan calon Pakatan Harapan Dr S Streram menjadi tumpuan untuk merampas kerusi berkenaan. 

Dua lagi adalah calon bebas - Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin - yang turut bertanding. 

Kesemua calon terbabit menghantar kertas pencalonan pagi ini di Dewan Serbaguna SJKC Bandar Seri Sendayan di Seremban.

Beberapa pemimpin terkenal dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang turut hadir menberi sokongan kepada calon masing-masing. 

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa antara oemimpin yang hadir menyatakan sokongan terhadap Streram. 

Turut hadir, pemimpin PAS termasuk setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan, naib presiden Idris Ahmad dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai menyatakan sokongan mereka terhadap calon BN Mohamad Hasan yang juga dikenali sebagai “Tok Mat”.

Pemimpin PAS turut dilihat menyertai pemimpin BN termasuk Ahmad Zahid Hamidi dari Umno, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Kira-kira 500 penyokong BN dan PAS berhimpun di perkarangan sekolah berkenaan seawal jam 7.30 pagi membawa bendera dan sepanduk parti masing-masing.

Penyokong Pakatan Harapan turut mengiringi calon mereka Streram ke pusat penamaan calon.

Kedua-dua penyokong dipisahkan dengan penghadang polis dan perang mulut tercetus dalam kalangan penyokong kedua-dua parti.

Penyokong BN melaungkan “Anjing Anjing, Pakatan Harapan” dan “Hidup Tok Mat”.

Manakala penyokong Pakatan melaungkan “Reformasi”.

Anggota polis turut mengarahkan penyokong kedua-dua parti itu untuk berundur selepas mereka dilihat semakin menghampiri dalam jarak 100 meter.

Pada pukul 10.30 pagi, pegawai pilihan raya mengumumkan empat calon bertanding bagi kerusi DUN Rantau.

Tok Mat dan Streram diiringi laungan penyokong mereka ketika nama diumum.

Tiada pencalonan ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. – 30 Mac, 2019

Iklan
Iklan