Anwar janji PKR tak akan guna jentera kerajaan di Rantau
Iklan
PKR tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil Rantau, kata Anwar Ibrahim.
“Kami tidak akan guna (jentera kerajaan) untuk raih undi,” kata presiden PKR itu pada sidang media selepas penamaan calon di Sendayan hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Bersih 2.0 yang Ahli Parlimen Miri daripada PKR Michael Teo melakukan kesalahan pilihan raya di Rantau pada Khamis lalu.
Teo menyerahkan kupon makanan bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar sekolah di kawasan itu.
Menurut Anwar, dakwaan itu adalah pandangan Bersih dan beliau menyerahkan perkara itu kepada pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau kemudiannya mempersoalkan Bersih, mengapa mereka tidak menuduh Umno melakukan kesalahan pilihan raya juga kerana wujud dakwaan Umno memberikan wang kepada pengundi semasa lawatan rumah ke rumah.
SPR sebelum ini berkata, pemberian Teo boleh dianggap “menjamu”, satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Bagaimanapun, kes itu masih dalam pertimbangan, kerana menurut Timbalan Pesuruhjaya SPR Azmi Haron, akta sedia ada tidak memberikan maksud jelas terma “sebelum” pilihan raya.
“Aktiviti tersebut boleh dianggap menjamu. Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya mengatakan anda tak boleh menjamu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
“Isunya di sini adalah sama ada ia adalah ‘sebelum’ kerana ia tidak dimaknakan (dalam akta),” kata Azmi dipetik berkata.
Menyentuh fokus kempen PKR, Anwar berkata ia akan berpusat kepada rakyat dengan pertimbangan kepada apa yang boleh dilakukan untuk penduduk di Rantau.
PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan daripada PKR Dr S Streram, Mohamad Hasan (Umno-BN) dan dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yasin. – 30 Mac, 2019.