Shafie anggap pengkiritk isu kerakyatan tak berhati perut
Iklan
MOHD Shafie Apdal membidas kritikan yang dilemparkan terhadap usaha kerajaan Sabah untuk membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan dengan menyifatkan pihak tersebut sebagai “individu tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan”.
Ketua menteri Sabah itu dikritik kerana usahanya membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai warganegara disebabkan perkahwinan ibu bapa mereka antara rakyat Malaysia dan warga asing tidak didaftarkan.
“Di mana sifat kemanusiaan kita? Saya tahu sesetengah daripada mereka juga memanggil saya sebagai pendatang haram.
“Saya tetap akan bersabar. Tetapi saya akan memegang prinsip sendiri dan biar Tuhan sahaja yang tahu bahawa niat saya adalah jelas dan tidak mempunyai agenda,” katanya ketika berucap semasa melancarkan Program Sipitang Baharu - Bersih dan Indah di Dataran Esplanade Sipitang hari ini.
Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick dan Menteri Pendidikan dan Invonasi Sabah Dr Yusof Yacob.
Pada 12 Mac lalu, Shafie berkata semua penduduk berdarah Sabah perlu dilayan sama rata.
Satu bancian yang dijalankan oleh kumpulan aktivis negeri mendapati lebih 800,000 penduduk tanpa kerakyatan di Sabah.
Pemimpin pembangkang negeri itu mempertikaikan motif Shafie untuk memberi kerakyatan kepada golongan tersebut dan mendakwa Parti Warisan Sabah cuba mengukukuhkan sokongan dengan mewujudkan pengundi baharu.
Di bawah undang-undang kerakyatan negara, kanak-kanak dari perkahwinan tidak berdaftar antara rakyat Malaysia dan warga asing dianggap sebagai rakyat asing.
Shafie berkata adalah tidak adil bagi kanak-kanak terbabit dihantar pulang ke negara asal ibu atau bapa mereka sedangkan penjaga mereka tiada di sana. – 30 Mac, 2019.