Susulan kematian menteri, Kabinet Sabah mungkin dirombak
Iklan
KABINET Sabah yang baharu berusia sembilan bulan berkemungkinan akan dirombak susulan kematian Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang juga Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, Khamis lalu.
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal memberikan petunjuk kemungkinan berlaku rombakan, apabila ditanya wartawan.
“Kita tengok bagaimana,” katanya.
Wong yang juga ahli Parlimen Sandakan meninggal dunia selepas aktiviti merentas hutan bersama sebuah NGO di Kampung Duvanson, Putatan.
Beliau menjadi menteri dalam Kabinet Sabah diterajui Warisan selepas dilantik jadi Adun pasca Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.
Shafie memberitahu, beliau akan berbincang dengan kepimpinan DAP Sabah tentang pengganti Wong serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil Sandakan.
“Saya akan berbincang dengan DAP Sabah, kepimpinan negeri,” katanya di Sipitang hari ini.
Pada masa sekarang, DAP Sabah hanya mempunyai dua Adun iaitu Tan Lee Fat (Likas) dan Phoong Jin Zhe (Luyang).
Satu-satunya ahli Parlimen daripada DAP Sabah yang tidak ada jawatan ialah Chan Foong Hin, tetapi beliau perlu dilantik jadi Adun terlebih dahulu sebelum boleh memegang jawatan Kabinet negeri.
Gabenor Sabah boleh melantik Adun- tidak lebih enam orang pada satu-satu ketika- dengan nasihat ketua menteri. Selain Wong, tiga Adun lantikan ialah Wilfred Madius Tangau (Upko), Lorreot Padua Jr dan Terrence Siambun, kedua-dua daripada Warisan.
Kekosongan jawatan itu berlaku menjelang pelancaran kemasukan Bersatu ke Sabah pada 6 April depan, tetapi sumber kerajaan negeri berkata Shafie tidak ada hasrat memberikan jawatan kepada pemimpin daripada parti sekutu Pakatan Harapan itu. – 30 Mac, 2019.