Apa yang kita tahu tentang subsidi haji
Iklan
PEMBERIAN subsidi haji jadi isu baru-baru ini selepas tular jawapan agensi itu di laman Facebook rasminya bahawa jemaah haji yang membuat rayuan mendapatkan giliran lebih awal menunaikan haji perlu menanggung keseluruhan kos ke tanah suci.
Isu itu tular sehari selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof mengumumkan kos menunaikan haji tahun ini kekal pada RM9,980. Kos itu kekal, walaupun kos sebenar meningkat lagi kepada RM22,900, kerana Lembaga Tabung Haji (TH) menanggung RM12,920 sebagai subsidi.
Beliau baru-baru ini membayangkan subsidi haji tidak akan dapat dipertahankan pada masa akan datang dan mengingatkan syarat mampu, termasuk dari segi kewangan, untuk wajib menunaikan haji dalam Islam terletak pada setiap umat Islam sendiri.
Berikut adalah maklumat ringkas isu-isu berkaitan subsidi haji dan TH:
Kenapa subsidi haji jadi isu?
TH mahu mengurangkan kos subsidi haji ketika syarikat itu sedang distruktur semula kerana beban kewangannya. Pada masa sama, operasi pengurusan lamanya dan beberapa bekas pegawai kanan terlibat disiasat oleh pihak berkuasa.
Kewangan TH bermasalah selepas semakan audit mendapati pengurusan syarikat sebelum ini tetap membayar hibah atau dividen – mengekalkannya pada kadar yang tinggi – walaupun melanggar undang-undang.
Mengikut Akta Tabung Haji 1995, TH tidak perlu membayar dividen jika tanggungannya lebih tinggi daripada aset. Pembayaran dividen yang melanggar undang-undang itu dikesan berlaku antara 2014 dan 2017.
Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH (Rehabilitation and Restructuring Plan) yang diumumkan pada 11 Disember menunjukkan kumpulan kecil pendeposit iaitu 1.3% memegang 50% simpanan, termasuk seorang yang menyimpan lebih RM190 juta.
Setakat Disember 2017, TH mempunyai 9.3 juta penyimpan dengan jumlah simpanan RM70.78 bilion. (Lihat jadual: Penyimpan dan Simpanan TH 2012-2017)
Sehingga tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2017, TH mempunyai RM74.4 bilion tanggungan berbanding aset keseluruhan RM70.3 bilion, iaitu defisit RM4.1 bilion.
Sebagai usaha pemulihan, TH kini memindahkan aset tidak untung miliknya kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jemaah Sdn Bhd, di bawah Kementerian Kewangan. Semua aset tidak untung yang dipindahkan itu berjumlah RM19.9 bilion.
Adakah subsidi haji dikurangkan tahun ini?
Tidak. Dalam satu kenyataan pada 28 Februari lalu, TH mengumumkan akan terus menanggung subsidi haji selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk unjuran kedudukan kewangannya tahun ini.
Kenyataan itu menutup kekecohan yang timbul dua minggu sebelumnya selepas tular kenyataan di laman Facebook rasmi TH bahawa subsidi berkenaan hanya akan diberi kepada bakal jemaah untuk kali pertama mengikut giliran kuota.
Ertinya, tiada subsidi untuk mereka yang merayu dipercepatkan giliran, termasuk yang tidak dapat dielakkan, misalnya, mengiringi mahram.
Dalam reaksi awal, Mujahid menjelaskan perkara itu belum muktamad dan sedang diteliti oleh TH. Namun penjelasan beliau tidak meredakan keresahan dalam kalangan umat Islam dan dijadikan isu politik oleh pembangkang.
Menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 20 Mac lalu, Mujahid berkata TH tidak boleh berterusan menanggung subsidi haji yang meningkat dari tahun ke tahun. Katanya, TH mahu memahamkan kepada jemaah bahawa ibadat haji wajib ke atas mereka yang mampu, termasuk berupaya dari segi kewangan berdasarkan kos semasa.
Berapa kos haji dan berapa pula subsidi yang ditanggung oleh TH?
Kos menunaikan haji untuk musim ini, yang ditetapkan oleh Arab Saudi, ialah RM22,900, naik berbanding tahun lalu RM22,450. Bagaimanapun, dengan subsidi yang diberikan oleh TH, kos itu kekal RM9,980. Subsidi yang ditanggung pada musim ini ialah RM12,920.
TH memberikan subsidi kepada jemaah haji sejak 2001. Ia menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab sosial korporat, sehingga membolehkan kos menunaikan haji kekal bagi setiap seorang jemaah walaupun kos langsung atau kos sebenar meningkat setiap tahun.
Kos langsung yang meningkat setiap tahun termasuk penginapan, penerbangan, pengangkutan di tanah suci dan makan minum.
Sebagai perbandingan, subsidi pada 2013 ialah RM5,575 tetapi kini meningkat RM12,470 pada 2018. Ini menyebabkan TH menanggung kos yang meningkat, misalnya RM93 juta pada 2013 dan RM400 juta pada tahun lalu. (Lihat jadual: Kos Subsidi Haji 2013-2019)
Kos itu tidak termasuk lagi kos subsidi tidak langsung atau kos tersembunyi iaitu bagi khidmat dan operasi sokongan kepada jemaah, misalnya, bimbingan haji, kebajikan dan perubatan. – 4 April, 2019.