Rumah mampu milik, pengangkutan awam jadi isu kaum India di Rantau
Iklan
MENJADI wakil rakyat Rantau selama tiga penggal dan pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan mungkin kelihatan seperti beliau akan mendapat kelebihan dalam pilihan raya kecil (PRK) 13 April ini, tetapi pengundi India di sini yang membentuk 26% pengundi mengatakan mereka dipinggirkan semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Mohamad mungkin pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan, tetapi pengundi India yang ditemui pada ceramah malam tadi berkata beliau tidak dapat menyediakan mereka rumah mampu milik semasa mentadbir kerajaan negeri.
“Sukar bagi kami mendapat rumah mampu milik kerana kami orang India. Kami tidak boleh memiliki rumah kos rendah di sini,” kata S Murthy, 38 yang tinggal di sini bersama isteri, anak dan kebanyakan saudara-maranya.
Murthy, yang berniaga sendiri, mendakwa kerajaan negeri di bawah pimpinan Mohamad memperuntukkan unit rumah mampu milik kepada mereka di luar kawasan itu.
“Kami berharap dapat rumah kos rendah tetapi sebaliknya. Rumah itu bernilai RM35,000 tetapi ia diberi kepada mereka yang bukan penduduk Rantau,” katanya, merujuk kepada kerajaan negeri BN.
Pengundi India yang berjumlah 26%, ia berkemungkinan menjadi “kingmaker” bagi lebih 22,000 pengundi di Rantau, dengan 55% adalah Melayu dan 18% Cina.
Mohamad dijangka menerima sokongan besar pengundi Melayu hasil kerjasama Umno dengan PAS.
Kebanyakan keluarga India datang dari ladang di sekitarnya dan berharap untuk kehidupan lebih baik di kawasan bandar.
Tetapi seorang lagi penduduk tempatan berusia 57 tahun yang hanya dikenali sebagai Nadesein berkata, beliau masih ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai petugas letak kereta dan tidak mempunyai pilihan selain menyewa rumah kecil berharga RM500 sebulan bagi keluarga dengan empat anak.
“Bagi orang India di kawasan ini, sukar untuk mendapatkan rumah mampu milik walaupun kami tinggal di sini seumur hidup kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Beberapa keluarga India datang dari ladang pergi ke bandar untuk kehidupan lebih baik. Mereka tidak mempunyai wang dengan anak seramai enam atau tujuh orang dan masih perlu menyewa rumah kecil satu bilik. Mengapa mereka tidak boleh mendapat rumah mampu milik? Ini adalah isu besar di kawasan itu.” – 2 April, 2019.
Berita penuh di sini