Iklan

Bukan Islam kena hormat keputusan Aminuddin letak jawatan, kata Anwar

Timothy Achariam6 years ago3rd Apr 2019Berita
Anwar ibrahim tmikamal 05
Presiden PKR Anwar Ibrahim hadir program ceramah di Masjid Kariah, Kampung Sendayan di Rantau malam tadi dalam siri kempen PRK Rantau yang akan diadakan pada 13 April. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 April, 2019.
Iklan

KEPUTUSAN Aminuddin Harun untuk meletak jawatan susulan isu penjualan arak di kelab golf di Negeri Sembilan tidak patut dilihat sebagai menteri besar itu tidak bertoleransi terhadap bukan Islam, kata Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Muslim tidak boleh memaksa atau melarang bukan Islam minum arak dan begitu juga, bukan Islam perlu menghormati keputusan Aminuddin untuk meletak jawatan sebagai presiden Seremban International Golf Club (SIGC).

Katanya, Aminuddin meletak jawatan kerana tidak mahu dikaitkan dengan alkohol kerana ia bertentangan dengan agamanya, dan perkara itu tidak sepatutnya dilihat sebagai beliau tidak bertoleransi dengan penganut agama lain.

“Jika bukan Islam hendak minum bir, itu hak mereka. Jika mereka mahu ada kelab, itu hak mereka. Kami sebagai Muslim tidak ada hak menafikan atau melarang mereka minum.

“Tetapi untuknya (Aminuddin) jadi pengerusi kelab itu, beliau tidak mahu mengaitkan dirinya dengan benda itu (bir),” katanya.

Anwar berkata demikian pada program ceramah di Masjid Kariah, Kampung Sendayan di Rantau di depan kira-kira 200 orang, malam tadi, dalam siri kempen PRK Rantau yang akan diadakan pada 13 April.

Anwar mempertahankan menteri besar itu susulan ramai bukan Islam yang berang dengan tindakan Aminuddin meletak jawatan dan merasakan beliau tidak toleransi.

“Ramai orang marah dia, tetapi saya jelaskan kepada mereka Islam tidak melarang bukan Islam minum. Tetapi itu haknya untuk letak jawatan. Beliau tidak mahu bersubahat dengan perkara itu jadi jangan paksa dia,” katanya.

Anwar juga memberi respons kepada bekas menteri besar dan penyandang DUN Rantau, Mohamad Hasan yang berkata ketika beliau pengerusi kelab itu, beliau tidak ada masalah dengan pengurusan yang menghidangkan bir.

Mohamad, yang juga mesra dipanggil Tok Mat berkata walaupun beliau tidak bersetuju dengan pengambilan alkohol, tetapi beliau tidak cuba untuk memasukkan pandangan peribadinya dalam masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, jika beliau berbuat demikian, pastinya beliau sudah pun menjadikan Negeri Sembilan bebas alkohol. – 3 April, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan