Iklan

Jho Low boleh balik dan dakwa saya, kata Dr Mahathir 

Looi Sue-Chern6 years ago3rd Apr 2019Berita
Bersatu annual general assembly 20181229 tmiafif 15
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedia ke mahkamah untuk mempertahankan keputusannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019
Iklan

DR Mahathir Mohamad berkata, ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho boleh kembali ke Malaysia dan buat pendakwaan berhubung jualan kapal Equanimity.

Low yang lebih dikenali dengan Jho Low, secara konsisten berkata Putrajaya bertindak secara salah mengambil kapal mewah itu dari Indonesia, yang mana ia disita bagi pihak Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat tahun lalu.

Hari ini, beliau membidas jualan Equanimity yang dibuat Putrajaya pada harga AS$126 juta (RM529 juta), dan menyifatkan ia sebagai “aksi PR yang gagal”.

Kapal berkenaan dilaporkan bernilai RM1 bilion.

Low, yang didakwa membeli kapal berkenaan menggunakan wang yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad berkata, jualan di bawah harga pasaran itu menunjukkan “ketidakcekapan kerajaan Mahathir dan pengabaian kedaulatan undang-undang”.

Ketika ditanya berhubung kenyataan Low, perdana menteri memintanya pulang.

“Beliau boleh datang ke sini dan buat pendakwaan, dan saya akan ke mahkamah untuk pertahankan keputusan saya,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi Bersatu di Petaling Jaya awal malam ini.

Low masih bebas selepas didakwa di Malaysia dan AS berhubung penyelewengan 1MDB.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu berkata, penubuhan parti itu di Sabah bukan untuk “menggulingkan” kerajaan negeri yang diterajui Warisan.

“Sebab kita ke Sabah adalah untuk membuka cawangan, bukan untuk tumbangkan kerajaan Warisan.

“Kami mahu berikan sokongan penuh kepada pentadbiran Warisan. Kami tidak akan dapatkan kedudukan di sana.

“Terdapat beberapa pihak yang tidak setuju dan mendakwa kami cuba pengaruhi dan mepergunakan Warisan. Tetapi Bersatu berdedikasi dalam menyokong Warisan.”

Berhubung sama ada Bersatu sudah tentukan kepimpinan parti di Sabah, beliau berkata pelantikan akan diumumkan ketika pelancarannya Sabtu ini.

Awal hari ini, Dr Mahathir mengumumkan Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung khas Mei depan untuk meminda perlembagaan parti.

Beliau berkata tahun ini Bersatu akan mengadakan pemilihan dalaman untuk memilih pimpinan. – 3 April, 2019

Iklan
Iklan