Iklan

Pakatan akan terus pertahan hak Melayu dan Islam, kata Anwar

Timothy Achariam6 years ago5th Apr 2019Berita
Anwar ibrahim tmikamal 04
Hak Melayu dan Islam akan terus dipertahankan Pakatan Harapan, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 April, 2019.
Iklan

WALAUPUN meletakkan calon India di Rantau, kedudukan istimewa Melayu dan Islam akan terus dipertahankan Pakatan Harapan, kata Anwar Ibrahim.

“Menteri besar Negeri Sembilan orang Islam, perdana menteri kita orang Islam. Hak Melayu dan kedudukan Islam dijamin di peringkat negeri dan negara,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan PKR di Dataran Rantau malam tadi.

PH meletakkan Dr S Streram untuk PRK Rantau yang dijadualkan berlangsung pada 13 April walaupun kawasan itu mempunyai 55% pengundi Melayu.

PRK Rantau adalah yang keenam dilangsungkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas, ia melibatkan pertandingan empat penjuru termasuklah calon Barisan Nasional Mohamad Hasan yang merupakan timbalan presiden Umno dan bekas menteri besar Negeri Sembilan.

Anwar dalam ceramah kepada lebih 1,000 penyokong PH berkata yang ada pihak tertentu merasakan, disebabkan lawan mereka adalah Mohamad, PH perlu meletakkan calon Melayu.

“Tetapi selepas perbincangan panjang, kami memutuskan untuk mengekalkan janji sebagai sebuah parti.”

Dr Streram, seorang pakar bius, dinafikan haknya bertanding di Rantau pada PRU14 lalu, dan PH mahu memberikan peluang kepadanya sekali lagi, kata Anwar.

“Kita tidak boleh khianati amanah kita sebab itu kita pertahankan letakkan calon keturunan India di Rantau.” 

Anwar Ibrahim mengatakan Pakatan Harapan akan terus bersandarkan prinsip keadilan untuk semua kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 April, 2019.

Tambahnya, semua kaum perlu diwakili secara saksama dalam kerajaan.

“Islam tekankan penyelesaian berdasarkan keadilan bukan warna kulit.. sebab itu juga dalam memilih dan menentukan calon di Rantau kita sebagai parti yang punyai prinsip dan idealisme kita mesti pertahankan prinsip itu.”

Selain Dr Streram dan Mohamad, dua lagi calon yang merebut kerusi DUN Rantau adalah calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Pada PRU14 lalu, Dr Streram dihalang memasuki kawasan pencalonan kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya, menyebabkan BN diwakili Mohamad menang tanpa bertanding di DUN Rantau.

Dr Streram memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya yang kemudiannya membatalkan kemenangan Mohamad dan mengarahkan PRK diadakan. Mohamad membuat rayuan tetapi ia ditolak. – 5 April, 2019.

Iklan
Iklan