Iklan

Pengundi di 5 negeri meningkat menjelang PRU14

Zulkifli Sulong7 years ago17th Sep 2017Berita
 m0p8317
Peningkatan yang tertinggi, berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ialah di Selangor dengan kenaikan 14.36%, naik daripada 2,020,496 pengundi pada 2013 kepada 2,30,604 orang pada suku pertama 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2017.
Iklan

LIMA negeri termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) mencatatkan pertambahan jumlah pengundi yang tinggi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Turut mencatatkan kenaikan jumlah pengundi baru ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya sebanyak 56.33% dengan 8,623 pengundi.

Peningkatan yang tertinggi, berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ialah di Selangor dengan kenaikan 14.36%, naik daripada 2,020,496 pengundi pada 2013 kepada 2,30,604 orang pada suku pertama 2017.

Ini diikuti oleh Terengganu dengan peningkatan 14.11% manakala pengundi baru di Johor meningkat 12.31%.

Negeri Kelantan dan Pulau Pinang yang diterajui oleh pembangkang masing-masing mencatatkan peningkatan 12.29% dan 11.11%.

Peningkatan keseluruhan pengundi baru sejak PRU13 ialah 1.4 juta pengundi atau 11%.

“Kami teruja dengan data ini dan menerima kenaikan ini sebagai sesuatu yang positif. Ini membayangkan usaha keras semua pihak khasnya parti politik terlibat (mendaftarkan pengundi baru) membuahkan hasil,” kata Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, mengulas data SPR itu.

“Itupun masih ada kira-kira 500,000 lagi pengundi di Selangor yang layak tetapi belum berdaftar.”

Namun begitu, pertambahan jumlah pengundi berdaftar di Terengganu dicurigai oleh pemimpin politik tempatan yang menganggapnya tidak konsisten dengan kadar pertumbuhan penduduk.

“Sepatutnya pendaftaran pengundi sejajar dengan jumlah kenaikan penduduk secara semulajadi, tetapi kenaikan ini tidak sejajar,” kata pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang juga wakil rakyat DUN Bandar kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, sukarelawan badan kajian data Invoke bagi kawasan pantai timur berpendapat pertambahan pengundi itu berpunca daripada dua sebab iaitu projek Transformasi Terengganu Baru (TTB) yang digerakkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negeri dan kempen pendaftaran pemilih oleh Pakatan Harapan dan Invoke melalui media baru.

Sukarelawan Invoke memberitahu The Malaysian Insight, TTB mewajibkan penerima dana remaja untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Setiap permohonan dana remaja dari kerajaan Terengganu akan diminta menyertakan slip pendaftaran pemilih yang disahkan oleh JKKK,” kata sukarelawan Invoke berkenaan.

Aktiviti pendaftaran pengundi baru oleh PAS juga dipercayai punca kenaikan ini memandangkan PAS aktif dan mempunyai jentera pilihan raya yang agak mantap di Terengganu. Namun, pemimpin PAS yang dihubungi enggan memberikan komen mengenainya.

Selain itu, beberapa kawasan parlimen yang mencatatkan kenaikan tinggi pengundi baru adalah Tebrau, Johor 16.99%, Tanah Merah, Kelantan (14.71%), Serdang, Selangor (12.98%), Bachok, Kelantan (11.58%) dan Pasir Gudang, Johor (11.37%). – 17 September, 2017.

Iklan
Iklan