Iklan

Komtar Pulau Pinang dikosongkan berikutan amaran kebakaran

Looi Sue-Chern6 years ago5th Apr 2019Berita
Chow fire komtar 050419  full
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan penjawat awam meninggalkan bangunan Komtar selepas penggera kebakaran berbunyi.– Gambar Facebook, 5 April, 2019
Iklan

PENJAWAT awam di bangunan Komtar Pulau Pinang terpaksa dipindahkan sementara dan bangunan berkenaan dikosongkan selepas penggera kebakaran berbunyi hari ini. 

Komtar yang merupaan bangunan tertinggi di negeri itu menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri dan agensi kerajaan lain. 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan exco yang mengadakan mesyuarat di Tingkat 28 terpaksa menamatkan mesyuarat mereka bagi mengosongkan bangunan bersama ratusan yang lain.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan pemeriksaan punca asap di kedai di Tingkat 3,” kata Chow menerusi Facebook. 

Beliau turut melampirkan gambar pemindahan dan anggota bomba menjalankan pemeriksaan di bangunan berkenaan.

Dalam satu sidang media yang diadakan di luar Komtar selepas itu, Chow berkata terdapat lebih 2,000 penjawat awam di Komtar. 

“Saya rasa sehingga kini, semuanya sudah meninggalkan pejabat mereka dan mengosongkan bangunan. 

“Apabila saya dengar penggera pertama kira-kira 10 minit, saya teruskan mesyuarat, kami pun tak tahu apa yang berlaku. 

“Kami teruskan mesyuarat sehingga penggera semakin kuat dan kami diminta keluar,” katanya.

Chow berkata pihaknya akan menunggu jabatan bomba untuk mencari punca asap dan mengesahkan bangunan itu selamat sebelum meneruskan tugas. – 5 April, 2019

Iklan
Iklan