Iklan

Dr Mahathir akan tentukan pemimpin Bersatu Sabah, kata bekas ahli Umno

Jason Santos6 years ago5th Apr 2019Berita
Lajim ukin004
Pemimpin parti Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin membubarkan partinya bagi membolehkan ahli parti itu menyertai Bersatu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 5 April, 2019
Iklan

KETIKA ramai ahli politik Sabah mengintai peluang untuk jawatan ketua Bersatu Sabah, pemimpin Pakatan Harapan Sabah, Lajim Ukin berkata, semua spekulasi perlu dihentikan kerana hanta pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad boleh menamakan individu tersebut ketika pelancaran Bersatu di negeri ini esok. 

Lajim, yang turut berharap dengan jawatan itu, menolak spekulasi yang bekas rakan Umnonya Hajiji Mohd Noor akan dilantik sebagai ketua Bersatu di negeri itu. 

“Semalam, saya mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir berhubung hala tuju politik Sabah. Sekiranya Dr Mahathir memutuskan untuk memilih Hajiji, saya akan ikut keputusan pemimpin. 

“Jadi kita tunggu hingga esok,” katanya pada mesyuarat agung tahunan parti Harapan Rakyat Sabah di Kota Kinabalu hari ini. 

Pada AGM hari ini, Lajim berkata akan meneruskan janjinya sebelum ini untuk membubarkan parti itu agar 64,000 ahlinya boleh berhijrah ke gabungan Bersatu Sabah. 

Setakat ini katanya, hanya 36,744 ahli partinya sudah memohon untuk menyertai Bersatu. 

Dr Mahathir akan merasmikan Bersatu di negeri itu di Penampang esok. 

Lajim merupakan bekas ahli Umno sebelum keluar parti untuk menyertai PKR. 

Beliau menjadi ketua PKR negeri dan pemimpin pembangkang negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-13, sebelum meninggalkan PKR dan membentuk Parti Harapan Rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Umum ke 14. 

Partinya tidak memenangi sebarang kerusi pada PRU14. 

Lajim berkata, beliau tiada masalah dengan Hajiji dan percaya kedua-dua mereka mampu bekerjasama walaupun berbeza pandangan. – 5 April, 2019

Iklan
Iklan