Iklan

Terdapat 'perbezaan' dalam Bersatu, kata bekas pemimpin Umno Sabah 

Jason Santos6 years ago5th Apr 2019Berita
Bersatu sabah004 copy
Bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu tetap mempertahankan tindakan mereka dan menolak kenyataan parti itu hanyalah satu lagi versi Umno.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 5 April, 2019
Iklan

BEKAS pemimpin Umno Sabah Hajiji Mohd Noor mempertahankan parti baharunya dengan mengatakan ia adalah “platform politik baharu”.

Beliau turut menolak cakap-cakap yang mengatakan Bersatu, yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad hanya versi lain Umno.

Bercakap kepada The Malaysian Insight mengenai pelancaran Bersatu di Sabah esok, Hajiji berkata persepsi bahawa Bersatu adalah Umno 2.0 adalah salah.

“Terdapat banyak perbezaan - dari dasar, pendekatan dan operasi. Tetapi buat masa ini, saya tidak boleh nyatakan lebih banyak tentang maklumat ini.

“Apa yang saya boleh katakan adalah cara parti ini berfungsi berbeza daripada Umno,” katanya.

Adun Sulaman itu berkata, tidak betul untuk mengatakan Bersatu hanyalah Umno kedua “hanya kerana kebanyakan ahlinya adalah bekas ahli parti itu.”

Hajiji juga berkata, keputusannya untuk menyertai Bersatu adalah mengikut trend politik semasa di negara ini yang mana rakyat menggesa perubahan dalam lanskap politik.

Seorang lagi ahli baharu Bersatu, Adun Usukan Japlin Akim juga menyatakan yang perjuangan Bersatu adalah berbeza sama sekali dengan parti lamanya.

“Saya tidak setuju jika ada yang mengatakan kami hanya menyertai sebuah parti seperti Umno. Bersatu adalah berbeza sama sekali,” katanya.

Japlin berkata, kebanyakan bekas ahli Umno Sabah yang telah menyertai Bersatu bukan untuk jawatan atau kuasa.

“Itu perkara terakhir dalam minda kami. Apa yang kami tahu, kami hanya mahu perjuangkan hak rakyat,” katanya.

Ditanya mengapa beliau enggan menyertai Parti Warisan Sabah, sebuah parti negeri yang memperjuangkan hak rakyat Sabah, Japlin beerkata perjuangan Betsau yang berasal dari Semenanjung berjuang untuk konsep Malaysia.

“Warisan pula hanya perjuangkan hak rakyat Sabah, ia terlalu lokal.

“Kami mahu menjadi holistik dan untuk seluruh negara,” katanya.

Ahli akar umbi Bersatu, Ruby Ayid, 60 berkata, terdapat satu cara untuk mengetahui sama ada Bersatu hanyalah sebah parti seperti Umno - dengan menyertai parti itu.

“Kita tidak akan cintakan seseorang jika tidak mengenalinya bukan?

“Walaupun, mungkin terdapat beberapa kebenaran Bersatu mungkin hanya seperti Umno lain, tetapi ia adalah sebuah parti baharu,” katanya yang berasal dari Tuaran.

Disember lalu, Hajiji mengetuai sekumpulan Adun, ahli Parlimen, senator, ketua bahagian dan ahli untuk meninggalkan Umno Sabah. Mereka menyertai Bersatu awal tahun ini.

Hajiji hari ini mengulangi kenyataan bahawa Bersatu Sabah akan bekerjasama dengan kerajaan negeri yang diterajui Warisan.

Beliau turut menyerahkan kepada kerajaan negeri tentang bagaimana mereka akan mengatur wakil rakyat Bersatu di sidang Dewan Undangan Negeri - sama ada mereka akan diletakkan dalam pakatan pemerintah atau tidak.

“Kami tidak menyasarkan jawatan atau kuasa. Kami sertai Bersatu kerana perjuangannya selari dengan apa yang kami perjuangkan,” katanya.

Dengan lapan ahi Bersatu menjadi sebahagian daripada parti pemerintah Sabah, Sabah kini mempunyai pembangkang yang lemah.

Hanya tujuh wakil rakyat pembangkan di Dewan - dua dari Parti Solidariti Tanah Airku dan lima dari Parti Bersatu Sabah.

Dalam barisan pemerintah, Warisan mempunyai 31 kerusi, diikuti DAP enam, PKR (4) dan Upko (4), dan lapan dari Bersatu. – 5 April, 2019

Iklan
Iklan