ECRL akan lalu Negeri Sembilan, kata Guan Eng di Rantau
Iklan
PROJEK Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan diubah laluannya supaya melintasi Negeri Sembilan, kata Lim Guan Eng kepada pengundi Rantau malam tadi.
Tambahnya, jika rundingan antara Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin dan kerajaan China berjalan lancar, Putrajaya boleh mengurangkan kos sebanyak RM36 bilion daripada jumlah kos projek RM130 bilion seperti dianggarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Ini berita baik bukan hanya untuk negara, tetapi juga Negeri Sembilan,” kata menteri kewangan itu dalam ucapannya ketika berkempen menyokong calon Pakatan Harapan Dr S Streram di Kuala Sawah, Rantau.
Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya sebut Negeri Sembilan kerana laluan projek akan berubah. Ini baik untuk negeri,” kata Lim.
“Saya minta media tak tanya saya tentang perkara ini kerana saya tak boleh cakap banyak mengenainya.
“Jika rundingan berjaya, laluan akan berubah, dan ini akan jadi berita bagus untuk Negeri Sembilan.”
Ditanya oleh wartawan selepas ucapan itu, Lim hanya meletakkan jarinya ke mulut, tanda tidak mahu memberikan ulasan.
ECRL, projek sepanjang 688km- bermula dari Pelabuhan Klang ke Gombak sebelum menuju ke Kuantan dan Pengkalan Kubor- ditangguhkan selepas PH merampas Putrajaya pada 9 Mei tahun lepas.
Daim sekarang mengetuai rundingan semula projek itu dengan China. – 6 April, 2019.